United mulakan pendakian hasil percaturan Ten Hag

Asmawi Bakiri
September 5, 2022 14:05 MYT
Empat kemenangan berturut-turut merupakan satu pencapaian yang sudah cukup lama tidak dikecapi Manchester United, maka ketibaannya melalui tumbangnya dua seteru ketat, Liverpool dan Arsenal, semestinya cukup manis.
Kemenangan 3-1 ke atas Arsenal semalam memadamkan memori pahit dua perlawanan pembukaan. Kini United merupakan pasukan yang sama sekali berbeza.
Sewaktu dibelasah 4-0 oleh Brentford, kurang dari sebulan lalu, pengurus baru United, Erik ten Hag, mengenakan hukuman kepada pemain-pemainnya untuk berlari sejauh 13.9 kilometer dalam cuaca
sepanas 33 darjah Celsius.
Namun, dia mengejutkan semua dengan menyatakan bahawa dia sendiri akan turut sama berlari biarpun usianya sudah mencecah 52 tahun.
Mungkin kerana adanya seorang pengurus yang sanggup untuk mengharungi suka-duka bersama-sama, bukannya seorang yang hanya tahu memberikan arahan semata-mata, mendatangkan perubahan mentaliti pemain yang telah sekian lama dinanti-nantikan.
Christian Eriksen dan Marcus Rashford -- antara dua pemain terbaik United dalam aksi semalam -- menghadirkan perubahan drastik daripada apa yang mereka lalui sejak tempoh setahun lalu.
Eriksen hampir kehilangan nyawa di atas padang sewaktu kejohanan Euro 2020 tahun lalu, sehingga dia disingkirkan oleh kelab lamanya, Inter Milan, dan terpaksa bermula semula dari bawah.
Dalam dua perlawanan pertama United, dia dijadikan bahan eksperimen oleh Ten Hag untuk bermain di posisi yang asing baginya, namun dia membuktikan bahawa sentuhan magisnya masih belum pudar dengan terlibat dalam kesemua tiga gol yang dijaringkan United melalui lorongan-lorongan cantik dan tajam.
Rashford pula hanyut tenggelam sepanjang musim lalu sehinggakan ura-ura mengatakan dia mungkin berhijrah ke negara lain bagi menemui semula dirinya.
Kini, di bawah tunjuk ajar pengurus baru, Rashford menghadirkan sebanyak tiga gol dalam dua perlawanan yang cukup penting dan posisi penyerang utama hampir pasti menjadi hak miliknya yang berpanjangan, asalkan sahaja dia mampu mengekalkan prestasi secara konsisten.
Rashford jugalah orangnya yang membuka ruang untuk pemain baru, Antony, menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya.
Aksi Antony menimbulkan memori ketika Cristiano Ronaldo turun beraksi buat kali pertama, 19 tahun dahulu, ketika menentang Bolton Wanderers.
Kedua-dua mereka dilihat cukup selesa dan yakin ketika menggelecek bola, seolah-olah percaya bahawa kehadiran mereka bakal mendatangkan perbezaan yang teramat diperlukan oleh pasukan.
Menyebut tentang Ronaldo, biarpun masa hadapannya bersama United diramalkan boleh berakhir pada bila-bila masa sahaja, peranannya sebagai seorang pemain berpengalaman tetap dapat dirasakan, malah dia terlibat dalam memulakan rentetan hantaran yang diakhiri dengan jaringan kedua oleh Rashford.
Daripada segi taktikal dan strategi, sejujurnya kita masih dapat melihat kekurangan di pihak United, di mana Arsenal lebih banyak menguasai bola secara keseluruhan -- statistik laman sesawang ESPN
menunjukkan Arsenal mencatatkan 61 peratus penguasaan bola dan sebanyak 16 percubaan ke arah gawang United.
Namun, tindakan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengubah formasi pasukannya melalui pertukaran tiga pemain serentak, menghadirkan peluang untuk United melakukan serangan balas pantas kerana barisan pertahanan Arsenal tidak lagi kompak seperti awalnya.
Hantaran cantik Bruno Fernandes dan Eriksen membolehkan Rashford menjaringkan dua gol mudah dan tamatlah rekod tanpa kalah Arsenal musim ini.
“Saya sedar penyokong sudah mula bermimpi kami akan kembali ke persada, tetapi hakikatnya perjalanan kami masih jauh lagi, masih banyak lagi usaha yang harus kami taburkan,” ujar Ten Hag pasca perlawanan.