Keputusan seri 1-1 dengan Newcastle United semalam harus menimbulkan pelbagai kegusaran buat penyokong Manchester United.

The Red Devils ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama gara-gara kesilapan pemain pertahanan, Raphael Varane, sebelum Edinson Cavani menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71 untuk berkongsi mata pada akhirnya.

Bekas pemain pertahanan United, Gary Neville, seseorang yang lantang mengkritik persembahan United sejak sekian lama, ternyata langsung tidak gembira dengan apa yang disaksikannya.

"Saya sudah mula risau sejak dari perlawanan lalu menentang Norwich lagi.

"Skuad ini saya lihat tidak ada keserasian, tidak memberikan tekanan terhadap lawan, bahkan perkara-perkara asas pun tidak dilakukan dengan betul.

"Tidak ada seorang pemain pun dalam skuad ini yang boleh berbangga dengan mengatakan bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan baik.

"Lihat sahaja tingkah laku mereka di atas padang -- tidak henti-henti merungut tentang segala-galanya!

"Jika mereka berterusan begini, saya rasa mereka akan menyebabkan lebih ramai pengurus dipecat pada masa akan datang!" ujar Neville dalam analisis pasca perlawanan menerusi segmen Monday Night Football di saluran Sky Sports.

Kritikan pedas Neville nampaknya disokong oleh Ralf Rangnick, pengurus baru The Red Devils.

"Saya tidak gembira dengan persembahan kami.

"Dalam perlawanan yang mementingkan tenaga dan aspek fizikal sebegini, kami ternyata tidak bermaya.

"Masalah paling besar adalah kesilapan-kesilapan yang kami lakukan.

"Biarpun selepas kami menjaringkan gol penyamaan, kami masih gagal untuk menguasai permainan dan gagal melakukan keputusan yang tepat," ujar Rangnick dalam temu bual bersama BBC Sport.



United masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Rangnick setakat ini, tetapi perlawanan menentang Newcastle mendedahkan pelbagai kelemahan mereka, antaranya kehilangan konsentrasi dalam aspek pertahanan, hantaran bola yang cemerkap serta tidak bermaya dalam percubaan menjaringkan gol.

Gara-gara penangguhan perlawanan mereka menentang Brentford dan Brighton sebelum hari Krismas akibat kes COVID-19, ini merupakan perlawanan pertama mereka dalam tempoh dua minggu, namun seharusnya ia tidak dijadikan alasan untuk persembahan menyedihkan sebegini.

Kesilapan Varane menghadiahkan Newcastle peluang untuk membuka jaringan tetapi aksi Harry Maguire sebagai pasangan pertahanannya turut tidak memberangsangkan.

Pemain-pemain di barisan hadapan pula gagal untuk membentuk lapisan pertahanan awal yang diinginkan oleh Rangnick.

Jika bukan kerana aksi cemerlang penjaga gol, David De Gea, yang menggagalkan peluang-peluang keemasan Newcastle dalam menjaringkan lebih banyak gol, kemungkinan besar United tidak mampu untuk membawa pulang walau satu mata pun.

"Perjalanan kami masih jauh lagi, hari ini bukanlah satu hari di mana kami mencatatkan sebarang kemajuan.

"Kami wajib mengurangkan jumlah kesilapan dan menghadiahkan bola kepada lawan, itu perkara utama.

"Selepas ini, kami akan berhadapan dengan Burnley dan Wolverhampton dalam perlawanan-perlawanan yang saya jangkakan bakal menjadi cukup sengit daripada aspek fizikal.

"Kami harus beraksi dengan lebih baik daripada hari ini," rumus Rangnick setepat-tepatnya.

Transformasi dan proses pemulihan United sudah diramalkan dari awal bakal memerlukan lebih banyak masa.

Tiga perlawanan di bawah kendalian Rangnick mungkin terlalu awal untuk sebarang kesimpulan dibuat, namun perkara paling penting untuk ditumpukan perhatian adalah aspek mentaliti dan sikap pemain -- seperti yang ditekankan oleh Neville.

Jika pemain-pemain United sendiri enggan memperbaiki dan memajukan diri, kehadiran pengurus sehebat mana pun tidak akan mendatangkan perubahan yang diinginkan.