Perlawanan Manchester United-Liverpool awal pagi esok semestinya dinanti-nantikan dengan penuh rasa teruja.

Sepanjang minggu lalu, pasca kekalahan memalukan 4-0 di tangan Brentford, United mengejutkan kancah bolas epak dengan bukan sahaja melakukan bidaan terhadap Casemiro, pemain tengah bertahan daripada Real Madrid, malah menyempurnakan perpindahannya dalam tempoh amat singkat.

Malang sekali, hasrat penyokong United untuk menyaksikannya beraksi menentang Liverpool tidak akan kesampaian gara-gara permit kerjanya tidak sempat untuk disiapkan, menurut laporan The Athletic.

Dalam artikel ini, kita singkap serba-sedikit mengenai pemain berusia 30 tahun ini dan mampukah dia menghadirkan perubahan dalam nasib United.

Persetujuan Casemiro untuk menyertai The Red Devils bukan sahaja mengejutkan kerana reputasi United yang sememangnya tercalar ketika ini, tetapi lebih penting lagi kerana dia diketahui ramai cukup mencintai Real Madrid dan amat bahagia di sana.

Pada tempoh pra-musim 2020-21, Casemiro sedang berehat bersama keluarganya setelah menyelesaikan tugasan bersama pasukan kebangsaan Brazil dan berjaya menjulang Copa America.

Dia diberikan tempoh rehat yang lebih panjang kerana tugasannya itu manakala rakan sepasukannya yang lain terbang ke Amerika Syarikat untuk bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Atletico Madrid.

Setelah mengetahui Real dibelasah 7-3, Casemiro nekad untuk membatalkan tempoh rehatnya dan memilih untuk terus kembali bersama pasukan secepat mungkin biarpun dia sudah membuat rancangan untuk berkunjung ke Disney World bersama ahli keluarganya.

Komitmennya terhadap Real melebihi segala-galanya.






Perpindahannya ke United kini dilaporkan berpunca daripada kedahagaannya untuk menempuh satu cabaran baru setelah memenangi segala yang boleh dimenangi bersama Real.

Selain itu, aspek gaji dan persaingan nampaknya turut memainkan peranan.

United dilaporkan bakal membayarnya £350,000 (RM1.85 juta) seminggu, dua kali ganda tinggi berbanding gajinya bersama Real ketika ini.

Real juga telah membeli Aurelien Tchouameni, pemain muda pasukan kebangsaan Perancis daripada Monaco, maka tidak hairanlah jika Casemiro berasakan posisinya sedikit-sebanyak terancam.

Bermusim-musim lamanya, teras pasukan Real Madrid dibina berdasarkan kombinasi tiga pemain tengah mereka -- Casemiro di bahagian tengah bertahan ditempatkan di belakang gabungan Luka Modric dan Toni Kroos.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti, menggelarkan gabungan mereka bertiga sebagai 'Segitiga Bermuda bola sepak' kerana bola akan hilang daripada penguasaan lawan sebaik sahaja masuk dalam lingkungan kawasan mereka bertiga.

Casemiro menghadirkan aspek pertahanan kukuh untuk melindungi kedua-dua rakan sepasukannya itu, manakala mereka berdua pula menutup kelemahan-kelemahan utama Casemiro -- tidak mahir dalam menggelecek bola dan kurang pantas dalam melakukan serangan balas pada kadar segera.

Perkara pertama yang harus dikhuatiri oleh United adalah mampukah jentera pemain tengah mereka melindungi Casemiro dan tidak mengharapkan dia seorang mampu menutup segala kelonggaran pasukan yang telah wujud buat sekian lama.

Sememangnya ada satu perkara yang nyata -- kualiti Fred dan Scott McTominay, dua pemain tengah utama United, adalah langit dan bumi jauhnya berbanding dengan Modric dan Kroos.

Kelebihan Casemiro adalah daripada kepakarannya dalam membaca rentak permainan dan melakukan rampasan bola berdasarkan kekuatan fizikal serta berada di tempat yang tepat.

Sifat Liga Perdana Inggeris yang sememangnya mementingkan fizikal diramalkan bersesuaian dengannya.

Kehadirannya juga seharusnya mewujudkan satu lapisan tambahan untuk barisan pertahanan United yang teramat rapuh.






Namun, perkara kedua yang harus diperhatikan adalah kekurangannya daripada aspek kepantasan.

Pengurus United, Erik Ten Hag, nampaknya memilih untuk meletakkan barisan pertahanan pasukan pada paras tinggi, dan satu kelemahan sistem ini adalah ia terdedah kepada risiko serangan balas pantas.

Jika pihak lawan menembusi barisan melalui satu hantaran tajam, Casemiro harus bersedia untuk bergegas kembali bertahan bersama rakan-rakan yang lain, dan jika dia lambat walau sedikit pun, gol pasti akan dibolosi.

Secara keseluruhannya, jika dia dapat beradaptasi dengan kadar segera, jentera United diramalkan bakal menjadi lebih kukuh dan teratur, sesuatu yang teramat didambakan ketika ini.

Namun, jangan sesekali diharapkan dia mampu melakukan silap mata dan merawat segala kelemahan kritikal United serta-merta.

Paling penting, Casemiro sendiri harus memperkukuhkan aspek mentalnya kerana dia hadir daripada pasukan yang telah memenangi segalanya, kemudian berpindah ke pasukan yang bergelut untuk memenangi apa-apa.