Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Sergio Ramos akan berdepan Real Madrid selepas Paris Saint-Germain (PSG) diundi bertemu Los Blancos dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah dalam majlis undian yang dilakukan semula sebentar tadi.

PSG pada awalnya diundi bertemu Manchester United, yang akan menyaksikan pertemuan dua seteru, Messi dan Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, berlaku masalah teknikal dalam majlis undian pertama itu dan ia terpaksa djalankan semula, sekali gus menyaksikan Messi masih belum dapat bersua dengan Ronaldo.

Selaku naib juara Kumpulan A di belakang Manchester City, yang dilihat pasukan pilihan selepas diundi menentang Sporting CP, PSG akan menantikan kunjungan Madrid dalam perlawanan pertama pada Februari depan sebelum bertandang ke Santiago Bernabeu sebulan kemudian.

Ia bermakna Mbappe, yang kini menjadi sasaran utama Madrid dan mungkin sudahpun menandatangani pra perjanjian bersama Los Blancos pada wakti itu, akan beraksi menentang bakal pasukannya.

Ia juga akan menyaksikan legenda Madrid, Ramos, akan berdepan bekas kelabnya itu, sama seperti jurulatih kelab Sepanyol berkenaan, Carlo Ancelotti, yang pernah membimbing PSG dari 2011-2013.

United, dalam pada itu, akan menghadapi Atletico Madrid, yang pada awalnya diundi bertemu Bayern Munich. Pasukan gergasi Bundesliga itu, bagaimanapun, akan berdepan Salzburg selepas undian semula.

Liverpool mungkin tidak gembira dengan undian baru itu, di mana mereka terdahulu diundi untuk menentang Salzburg tetapi kini perlu mencongak perhitungan dengan juara Serie A, Inter Milan.

Secara kebetulan Chelsea kekal diundi menjadi lawan juara Ligue 1, Lille -- sama seperti undian asal.

Dua perlawanan lain menyaksikan Villarreal akan menghadapi Juventus manakala Ajax bertemu Benfica.


Undian pusingan 16 UCL:
Salzburg lwn Bayern Munich
Sporting CP lwn Manchester City
Benfica lwn Ajax
Chelsea lwn Lille
Atletico Madrid lwn Manchester United
Villarreal lwn Juventus
Inter Milan lwn Liverpool
PSG lwn Real Madrid