West Ham mendapat laluan mudah dalam undian pusingan keempat Piala FA selepas diundi untuk berkunjung ke laman pasukan divisyen enam, Kidderminster Harriers.

Menjelang pertemuan dua darjat itu, The Hammers kendalian David Moyes menewaskan Leeds United 2-0 untuk melepasi halangan pertama mereka tahun ini dan kini akan melalui satu perlawanan yang wajib dimenangi mereka.

Kidderminster dan West Ham dibezakan lima divisyen liga dalam sistem bola sepak England di mana mereka kini menduduki tangga kelima liga masing-masing -- Liga Kebangsaan Utara dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 2-1 ke atas pasukan Liga Kejuaraan, Reading, menyaksikan barisan bimbingan Russell Penn, Kidderminster, mara ke pusingan 32 Piala FA dan wakil West Midlands itu kini perlu bersedia untuk menghadapi lawan dari divisyen utama berkenaan di Aggborough.

Juara bertahan, Leicester City, yang menyingkirkan Watford hujung minggu lalu, diundi untuk bertemu Nottingham Forest, yang menewaskan Arsenal malam tadi.

Undian buat pasukan elit EPL yang lain pula menyaksikan Chelsea akan menantikan kunjungan pasukan Liga Satu, Plymouth Argylle, Manchester City bertemu Fulham, Liverpool menghadapi Cardiff City di Andfield dan Tottenham melayani Brighton and Hove Albion.

Manchester United pula, yang akan bertemu Aston Villa di Old Trafford awal pagi esok, diundi untuk berdepan Middlesbrough seandainya dapat menewaskan lawan bimbingan Steven Gerrard berkenaan.


Keputusan undian pusingan keempat Piala FA:
Crystal Palace lwn Hartlepool United
Bournemouth lwn Boreham Wood
Huddersfield Town lwn Barnsley
Peterborough United lwn QPR
Cambridge United lwn Luton Town
Southampton lwn Coventry City
Chelsea lwn Plymouth
Everton lwn Brentford
Kidderminster lwn West Ham
Manchester United/Aston Villa lwn Middlesbrough
Tottenham lwn Brighton and Hove Albion
Liverpool lwn Cardiff City
Stoke City lwn Wigan Athletic
Nottingham Forest lwn Leicester City
Manchester City lwn Fulham
Wolves lwn Norwich City

Kesemua perlawanan akan berlangsung dari 4 hingga 7 Ferbuari ini.