Juara bertahan, Manchester City, akan bertandang ke laman West Ham manakala Arsenal pula akan menghadapi Leeds United dalam perlawanan pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL).

Skuad kendalian Pep Guardiola, City, sedang dalam pemburuan kejuaraan kelima berturut-turut dalam kejohanan itu dan akan bertemu The Hammers, yang menewaskan seteru setempat mereka, Manchester United, 1-0 dalam perlawanan pusingan ketiga awal pagi tadi.

Arsenal meneruskan kemaraan selepas menewaskan pasukan Liga Satu, AFC Wimbledon, 3-0 dan akan berdepan Leeds --yang menyingkirkan Fulham selepas penentuan penalti -- di Stadium Emirates.

Secara keseluruhan, terdapat lima perlawanan yang akan mempertemukan sesama pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), di mana Leicester City akan berdepan Brighton and Hove Albion selepas tewas kepada pasukan bimbingan Graham Potter itu dalam perlawanan liga hujung minggu lalu.

Juara Eropah, Chelsea -- yang mengungguli penentuan sepakan penalti dengan Aston Villa -- akan menantikan kunjungan Southampton, yang turut memerlukan penentuan penalti untuk menyingkirkan Sheffield United.

Burnley pula akan berdepan Tottenham manakala Brentford akan berkunjung ke gelanggang Stoke City.

Liverpool, dalam pada itu, akan ke Deepdale bagi mencongak perhitungan dengan kelab Liga Kejuaraan, Preston North End.

Perlawanan pusingan keempat Piala EFL dijangka akan bermula pada 25 Oktober ini.


Undian penuh Piala EFL:
Chelsea lwn Southampton
Arsenal lwn Leeds United
Stoke City lwn Brentford
West Ham lwn Manchester City
Leicester City lwn Brighton and Hove Albion
Burnley lwn Tottenham
Queens Park Rangers lwn Sunderland
Preston North End lwn Liverpool