Real Madrid akan berdepan pasukan yang menyingkirkan Barcelona, Athletic Bilbao, dalam perlawanan suku akhir Copa del Rey.

Perlawanan tanpa timbal balik di San Mames itu akan menjadi ulangan aksi final Supercopa de Espana minggu lalu, di mana Madrid menang 2-0 untuk menjulang trofi pertama sepanjang era kedua di bawah bimbingan Carlo Ancelotti.

Madrid kini akan memanfaatkan kelebihan selepas juara 31 kali, Barca, tersingkir di tangan Athletic dalam pusingan 16, di mana sepakan penalti Iker Muniain dalam masa tambahan membenam pasukan juara bertahan itu dengan kemenangan 3-2.

Undian malam tadi, yang dicabut oleh legenda bola sepak Sepanyol, David Villa, turut mempertemukan dua pasukan utama LaLiga, Real Sociedad dan Real Betis.

Betis kini berada di tangga ketiga LaLiga manakala Sociedad pula berada di tangga kelima dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dalam pada itu, Valencia diundi bertemu Cadiz manakala Rayo Vallecano akan berdepan Real Mallorca sebagai melengkapkan empat perlawanan peringkat suku akhir kejohanan itu.

Kesemua perlawanan itu akan mengambil tempat dua mingu depan, di mana aksi separuh pertama pula akan berlangsung seminggu kemudian.

Undian suku akhir Copa del Rey:
Athletic Bilbao lwn Real Madrid
Real Sociedad lwn Real Betis
Valencia lwn Cadiz
Rayo Vallecano lwn Real Mallorca