Samuel Umtiti teruja untuk bermain bersama rekrut terbaru FC Barcelona, Ousmane Dembele.

Dembele menyempurnakan perpindahan GBP97 juta (RM534 juta) daripada Borussia Dortmund semalam bagi menggantikan Neymar, yang berhijrah ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia GBP200 juta (RM1.1 bilion) awal bulan ini.

Umtiti -- rakan sepasukan Dembele di Perancis -- teruja dengan penyertaan pemain berusia 20 tahun itu dan percaya dia mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Neymar.

"Saya tahu Barcelona sangat berminat dengan Dembele," katanya ketika sesi sidang media.

"Kami sering berbual di telefon kerana dia sahabat saya.

"Saya lega dia menyertai kami. Dia seorang pemain yang kami perlukan sejak Neymar meninggalkan kami.

"Dia seorang yang santai dan itu antara kekuatannya. Saya harap dia membantu kami meraih kejuaraan.

"Saya tidak sabar untuk bertemu dengannya.Dia seorang pemain yang akan mempamerkan bakatnya dalam pasukan ini.

"Saya akan membantunya untuk menyesuaikan diri di sini."

Umtiti turut menggesa Barca untuk pandang ke hadapan selepas ketiadaan Neymar, dan berpendapat pemain itu ada alasannya tersendiri untuk berhijrah ke Perancis.

"Jika ada pemain yang mahu keluar, kami perlu menerimanya dan fokus terhadap sasaran pasukan," katanya.