Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC melakar kejutan apabila meraih kemenangan pertama dengan menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 dalam Liga Perdana di Stadium Selayang, hari ini.

Tuan rumah dalam misi memelihara maruah selepas kalah dua perlawanan awal liga manakala JDT II yang memperoleh dua keputusan seri mahu mencari kemenangan sulung.

Nicolas Alberto Fernandez gagal memberikan sesuatu kepada JDT II selepas sepakan percuma diambilnya pada minit ketiga jauh melepasi palang gol.

Dua minit kemudian, Redouane Zerzouri hampir menghadiahkan jaringan pendahuluan buat UKM tetapi bola rembatannya ditangkap kemas Samuel Somerville.

Tuah tidak bersama JDT II pada minit ke-63 apabila tandukan Murilo Damasceno Neto sekadar singgah di tiang kanan pintu gol UKM.

UKM akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Nam Se-in, yang menanduk kencang bola hantaran Mohammad Rafizi Mohd Hamdan pada minit ke-67.

Se-in sekali lagi berpeluang mencipta jaringan kedua pada minit ke-84, namun peluang terhidang itu disia-siakan apabila rembatan leretnya dapat ditampan Somerville.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Kuching, Sarawak terpaksa menanggung kekalahan 2-3 selepas mendahului Felcra FC 2-0 dalam separuh masa pertama.

Sepasang gol, masing-masing daripada Bobby Gonzales dan Mateo Roskam, meletakkan mereka di kedudukan selesa menuju waktu rehat.

Tetapi Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande mencipta kejutan apabila mencipta hatrik pada hujung perlawanan.

Selepas membuka jaringan pada minit ke-87, Casagrande menemui dua gol lagi dalam tempoh dua minit pada masa kecederaan.