Hanya tinggal sehari sahaja lagi ujian sebenar kepada jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, apabila memulakan kempen pusingan akhir peringkat Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 berdepan dengan Turkmenistan pada malam esok.

Perlawanan pertama ini akan menentukan sejauh mana kemampuan Pan-gon mengawal emosi dan minda anak didiknya untuk memberikan aksi terbaik mereka bagi mencapai matlamat yang diimpikan rakyat Malaysia bagi melihat sendiri pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 di tanah tumpah darah mereka sendiri.

Walaupun membariskan skuad yang boleh dikatakan mantap tetapi ia bukan jaminan kepada Pan-gon kerana Malaysia akan berhadapan dengan pasukan-pasukan yang baik daripada segi ranking dunia.

Paling menguji jurulatih dari Korea Selatan itu kelak ialah bagaimana pemain-pemainnya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan selepas melakukan persiapan yang rapi kali ini.



Siapakah pemain yang akan dipertanggungjawabkan untuk diletakkan sebagai kesebelasan utama juga menjadi tumpuan terutama di bahagian tengah kerana bahagian inilah yang akan menentukan sejauh mana perjalanan Harimau Malaya mencipta kemenangan esok.

Gandingan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih pada padangan penulis amat sesuai untuk diturunkan terlebih dahulu oleh Pan-gon kerana kedua-dua pemain ini mempunyai keserasian selain kekuatan individu yang berbeza.

Syamer seorang pemain yang mempunyai kekuatan stamina dan teknikal selain bijak membaca permainan terutama mematikan gerakkan lawan, manakala Azam Azih pula seorang yang kreatif dan bijak dalam mengawal tempo permainan. Jika mereka ini mendapat sokongan pasti mereka akan dapat menguasai bahagian tengah dengan baik sekali.




Tetapi yang membimbangkan sedikit penulis di bahagian pertahanan tengah, siapakan pemain tempatan yang akan digandingkan bersama Dion Cools kerana posisi ini memerlukan persefahaman serta komunikasi yang baik.

Jika Shahrul Saad digandingkan bersama Dion Cools, mereka perlu lebih banyak berkomunikasi dan perlu lebih tenang supaya tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

Gandingan dua pemain ini merupakan pilihan penulis untuk menggalas tugas sebagai pertahanan tengah kerana kedua-dua pemain ini mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa.

Jadi sama-samalah tunggu apa yang akan disajikan oleh Pan-gon untuk memastikan yang Harimau Malaya lebih garang dan bersedia untuk memulakan kempen kelayakkan Piala Asia 2023.