Setelah catatan 10 kemenangan yang diraih secara berturut-turut Real Madrid akhirnya lebur awal pagi Isnin lalu susulan diikat seri tanpa jaringan oleh Cadiz di laman sendiri dan kini, pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu berdepan satu lagi masalah besar.

Biarpun ketika ini skuad Los Blancos itu selesa mengungguli takhta LaLiga dengan kelebihan lima mata, tugas getir menanti pada awal pagi esok apabila bakal turun menentang Athletic Bilbao tanpa kelibat tujuh pemain pasukan utama akibat jangkitan COVID-19.



Minggu lalu, beberapa nama seperti Luka Modric, Rodrygo, Marco Asensio, Gareth Bale, Marcelo dan Andriy Lunin disahkan positif COVID-19 dan melengkapkan masalah yang dihadapi Ancelotti, seorang lagi pemain, Isco, turut mengisi senarai itu, Isnin lalu.

Lebih merisaukan peminat di Santiago Bernabeu ekoran aksi dua hari lalu, Real Madrid mencatat 36 percubaan ke gawang Cadiz tetapi tetap gagal memecah kebuntuan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kecergasan dan penyudah yang mampu ditawarkan pemain seperti Vinicius Junior, Karim Benzema dan Eden Hazard bagi menghadapi babak kedua musim 2021-22.

Dua situasi itu mungkin memaksa Ancelotti mengubah pendekatan dan ketika sidang media untuk aksi di San Mames, dia berkata: “Sistem 4-3-3 yang kami gunakan sebelum banyak membantu pasukan tetapi kami tidak memilki pemain sayap kanan yang sedia diturunkan. Ia mampu menjadi punca untuk saya berubah kepada 4-4-2.”



Dalam masa sama, bekas pengendali Everton, Chelsea, Napoli dan AC Milan itu sudah tentu mahu memastikan tiga mata dibawa pulang pada esok dalam usaha mengukuhkan cengkaman di puncak carta liga memandangkan mereka bakal berdepan jadual padat dan ujian lebih berat, bulan depan.

Memasuki tahun baru, mereka bakal menghadapi tiga perlawanan daripada tiga saingan berbeza dalam tempoh lapan hari apabila akan berdepan Alcoyano bagi saingan Copa Del Rey pada 6 Januari sebelum melayan kunjungan Valencia, tiga hari kemudian dan Barcelona akan menjadi lawan seterusnya bagi saingan Piala Super Sepanyol pada 14 Januari nanti.



Sebelum aksi ke-18 liga pada minggu lalu, Bilbao gagal meraih sebarang kemenangan termasuk tunduk di tangan Real Madrid pada 2 Disember lepas, namun anak-anak buah Marcelino itu tidak boleh dipandang ringan Los Blancos memandangkan mereka kini segar dengan kemenangan mengejut 3-2 ke atas pasukan tangga ketiga, Real Betis.