Pelumba Yamaha Thailand Racing Team, Decha Kraisart, menamatkan sesi ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) apabila muncul sebagai pelumba terpantas dalam saingan SuperSports 600cc yang berakhir di Litar Johor, Pasir Gudang, hari ini.

Juara dua kali ARRC itu mencatat masa terbaik 1 minit 31.051 saat dengan menghampiri catatan terpantas litar, 1 minit 31.016 saat milik Md Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang dilakukan pada musim 2016.

Juara bertahan, Zaqhwan, yang menguasai hari pertama semalam kekal memberikan aksi bertenaga apabila muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 1 minit 31.381 saat, diikuti seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech Kawasaki Racing), dengan catatan 1 minit 31.441 saat.

160317 Azlan Shah Kamaruzaman

"Kempen kami pada musim lepas tidak begitu baik pada peringkat awal musim.

"Saya hanya tamat di kedudukan ke-12 dalam Perlumbaan 2 dan gagal menamatkan perlumbaan sewaktu Perlumbaan 1 di litar ini.

"Namun, menjelang pertengahan musim, kami mencapai prestasi terbaik dan diteruskan pada hari ini.

"Saya berharap dapat tampil cemerlang mengutip seberapa banyak mata apabila turun beraksi dalam pusingan pertama yang akan bermula di sini dua minggu lagi," jelas pelumba berusia 36 tahun itu.

Pasukan Yamaha Thailand Racing turut memperagakan aksi bertenaga dalam kelas Asia Production 250cc yang menyaksikan Anupab Sarmoon muncul pelumba terpantas dengan catatan 1 minit 43.469 saat untuk membuktikan dia berupaya menggalas tugas selaku pelumba utama menggantikan juara 2016, Apiwat Wongthananon, yang beralih ke saingan Moto3 di Sepanyol.

Duo Astra Honda Racing, Rheza Danica Ahrens dan Gerry Salim, mencatat masa kedua dan ketiga terpantas dengan catatan 1 minit 43.536 saat dan 1 minit 44.432 saat.

Dalam saingan Underbone 150cc, pelumba RCB Motobatt Yamaha YY Pang, Md Azhar Abdul Jalil dan Tengku Amirul Haffirudin, mendahului lain-lain pelumba dengan catatan 1 minit 48.907 saat dan 1 minit 49.127 saat diikuti pelumba muda, Md Helmi Azman, dari pasukan TKKR Onexox Racing dengan catatan 1 minit 49.251 saat.

Keputusan Ujian Pra-Musim ARRC:

SuperSports 600cc

1. Decha Kraisart (THA) Yamaha 1'31.051s

2. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 1'31.381s

3. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 1'31.441s

4. Chalermpol Polamai (THA) Yamaha 1'31.871s

5. Taiga Hada (JPN) Honda 1'32.045s


Asia Production 250cc

1. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 1'43.469s

2. Rheza Danica Ahrens (INA) Honda 1'43.536s

3. Gerry Salim (INA) Honda 1'43.555s

4. Peerapong Loiboonpeng (THA) Yamaha 1'44.432s

5. Galang Hendra Pratama (INA) Yamaha 1'44.520s


Underbone 150cc


1. Azhar Abd Jalil (MAS) Yamaha 1'48.907s

2. Tengku Amirul Haffirudin (MAS) Yamaha 1'49.127s

3. Md Helmi Azman (MAS) Yamaha 1'49.251s

4. Md Muzakkir Mohamed (MAS) Honda 1'49.413s

5. Md Adib Rosley (MAS) Yamaha 1'49.522s