Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, menarik diri Kejohanan Ujian Olahraga Kebangsaan yang bermula 13 November depan atas faktor prestasi belum berada di tahap terbaik sekalipun sudah lama tidak menyertai kejohanan.

Beberapa acara seperti baling tukul besi, lempar cakera dan lompat tinggi terpaksa dibatalkan dalam Kejohanan Under Distance minggu lalu ekoran masalah kekurangan atlet.

Jumlah penyertaan atlet antara kebimbangan utama tetapi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yakin ia tiada kaitan dengan isu yang melanda presiden badan induk itu.

Kejohanan itu dijangka berdepan masalah sama, namun ia bukan dipengaruhi oleh isu penyelewengan dana Persatuan Olahraga Selangor yang membabitkan Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

"Kejohanan penting untuk mengekal dan meningkatkan prestasi atlet.

"Lagipun saya masih di peringkat pemulihan selepas bercuti sebulan.

"Jadi saya mungkin tidak akan ambil bahagian kejohanan ujian ini.

"Bukan soal rugi atau tidak, tapi saya memang belum bersedia untuk mengambil bahagian dalam kejohanan ujian itu, sebaliknya tumpu kepada Terbuka dan Tertutup Malaysia pada Disember depan," kata pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 tersebut di Nadi Arena.