Harapan Negeri Sembilan (NS) untuk meneruskan rentak sempurna -- tujuh kemenangan dalam saingan Liga Perdana musim ini -- tidak kesampaian apabila diikat UiTM FC 1-1, hari ini.

Perlawanan itu diadakan hari ini susulan jadual asal permainan pada 26 Januari lalu terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk di Stadium UiTM Shah Alam.

NS ketika itu sedang mendahului 1-0 pada minit ke-31 menerusi tonggak import berbisa mereka, Bruno Suzuki.

Sehubungan itu, aksi hari ini mengekalkan keputusan 1-0 dalam pertemuan lalu dan dilangsungkan dalam baki 60 minit.

Pemain tengah import tuan rumah dari Korea Selatan, Do Dong-hyun, menyamakan kedudukan pada minit ke-67 dan usaha NS untuk memburu gol kemenangan ternyata sukar ekoran keadaan padang yang digenangi air selepas hujan ribut melanda Lembah Klang, petang tadi.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menggugat skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana dengan 22 mata untuk mengatasi pencabar terdekat, Terengganu, yang memungut 18 mata selepas lapan perlawanan.