Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, percaya pasukannya mampu memberikan saingan dalam memburu kedudukan empat terbaik Liga Perdana 2019 yang akan bermula bulan depan.

UiTM bertekad untuk melupakan kegagalan musim lalu ketika mereka menduduki tangga kesembilan Liga Perdana dan terkandas dalam pusingan ketiga Piala FA.

Kini, mereka meletakkan sandaran kepada pengalaman yang dimiliki Ismail untuk membimbing barisan pemain muda.

Walaupun pihak pengurusan belum menetapkan sebarang sasaran untuk pasukan itu, Ismail berasakan peluang pasukannya mencabar kelompok atasan liga tetap terbuka.

"Saya agak teruja dengan bakat-bakat berpotensi yang mampu untuk diperkembangkan dalam pasukan ini.

"Saya yakin sasaran terbaik untuk diletakkan adalah dengan merebut kedudukan empat pasukan terbaik.

"Ia sasaran yang realistik untuk dicapai," katanya.

Skuad The Lion Troops turut diperkuatkan dengan kehadiran penyerang antarabangsa Brunei, Adi Said.

Penyerang itu mewakili pasukan DPMM FC musim lalu dan telah meledak 12 gol ketika pasukan itu meraih tempat ketiga Liga Singapura.

Selepas menewaskan Selangor dalam aksi persahabatan, Rabu lalu, UiTM akan meneruskan persiapan pra-musim dengan aksi persahabatan di Bangkok, Thailand.

"Adi mempunyai kemahiran teknikal dan taktikal yang baik.

"Namun, saya perlu menyesuaikan gaya permainannya dengan pasukan ini.

"Apa yang penting adalah dia memiliki kepantasan dan sentuhan penyudah sebagai seorang penyerang," tambahnya.