Walaupun mustahil untuk bangkit ke kedudukan lebih baik dalam Liga Super 2021, UiTM masih belum mengibarkan bendera putih dengan beberapa langkah dalam jendela perpindahan yang akan berakhir Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM FC, Mustaza Ahmad, yang dihubungi Nadi Weekend hari ini mengesahkan skuad The Lion Troops itu bakal diperkuatkan dengan dua pemain import baru, iaitu bekas tonggak Sabah, Dennis Bushening dan Joel Vinicius.

Bagaimanapun, Joao Pedro yang sebelum ini beraksi dalam dua perlawanan liga tidak lagi bersama skuad kendalian Frank Bernhardt itu berikutan gagal membantu mereka dalam tempoh percubaan.





"Kami memperkuatkan barisan serangan dengan membawa masuk seorang pemain dari Brazil, Joel Vinicius, yang pernah bermain untuk kelab Juventus di Brazil.

"Bekas pemain tengah Sabah, Bushening, pula akan mengisi kuota Asia.

"Saya yakin mereka berdua ini -- yang telah pun di Malaysia -- dapat membantu jentera serangan kami bagi meneruskan kelangsungan kami dalam pusingan kedua Liga Super," kata Mustaza.

Tambahnya, kehadiran beberapa khidmat baru termasuk pemain pinjaman dari Kuala Lumpur City, Sean Giannelli, serta penjaga gol, Zamir Selamat, diharap membantu mereka sekurang-kurangnya kekal berada dalam saingan utama musim depan.