UiTM FC tidak gentar dengan rekod tanpa kalah PKNP FC di Stadium Perak dan bertekad mencuri sekurang-kurangnya satu mata apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Liga Perdana yang kembali bersambung, hari ini.

UiTM sedar lawan mereka itu bukan mudah untuk dijinakkan, apatah lagi PKNP dilabel pasukan kebal di laman sendiri.

Menurut statistik, PKNP masih belum tewas dalam sembilan perlawanan di laman sendiri, baik dalam saingan Liga Perdana mahupun Piala FA.

UiTM turut sedar pentingnya mengawasi kapten PKNP, Shahrel Fikri.

"Mereka sudah bermain bersama untuk tempoh yang lama, jadi mereka tiada masalah daripada aspek kombinasi. Saya juga dimaklumkan bahawa mereka memiliki tahap ketahanan yang tinggi," jelas pengendali UITM FC, Wan Mustafa Wan Ismail.

Dijangkakan UITM akan terus meletakkan sandaran terhadap dua import berbisa, Akanni Sunday Wasiu dan Do Dong Hyun, dalam menghukum pertahanan PKNP.

Pertemuan pada 25 April lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Shah Alam.

"Kami juga ada membuat persiapan rapi sepanjang bulan Ramadan, jadi saya berharap kami dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata," tambahnya.