PDRM FA 1 UiTM FC 3

Hasrat PDRM FA untuk membuka tirai Liga Perdana 2019 dengan kemenangan lebur apabila tewas 1-3 di tangan UiTM FC dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), petang tadi.


UiTM selaku pelawat hanya memerlukan 30 saat sejak sepak mula untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang import, Adi Said, bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan tuan rumah, Mohd Hazwan Rahman, yang gagal menyekat hantaran tonggak import UiTM dari Senegal, Robert Mendy.

Meskipun PDRM dilihat lebih banyak menguasai permainan, ketangkasan penjaga gol UiTM, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris, menyaksikan skuad kendalian Fauzi Pilus itu gagal membuahkan hasil dalam usaha mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, kombinasi memukau di antara Adi dan Mendy sekali lagi memusnahkan PDRM dan membolehkan UiTM memperoleh jaringan kedua pada minit ke-36 apabila penyerang dari Brunei itu menyempurnakan lorongan Mendy bagi menewaskan penjaga gawang PDRM.

Mendy terus menambah derita anak-anak buah Fauzi menerusi gol ketiga UiTM ketika aksi berbaki enam minit sebelum sepakan penalti dalam waktu kecederaan daripada Lee Chang-Geun memberikan jaringan sagu hati buat PDRM.

Tetapi segala-galanya sudah terlambat untuk menghalang kemenangan 3-1 buat pasukan bimbingan Ismail Zakaria itu.

"Secara keseluruhan, permainan tidak begitu cantik tetapi kami tetap meraih tiga mata. Seperti yang saya katakan semalam, ini adalah aksi pertama. Perlawanan pertama hingga ketiga semestinya sukar, apatah lagi kebanyakan pemain beraksi buat kali pertama dalam kesebelasan utama," kata Ismail.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi tidak diterjemahkan sebagai gol. Apabila dikejutkan dengan gol awal lawan, ia menyebabkan pergerakan pasukan hampir lumpuh walaupun pemain masih cuba mengatasi masalah itu," ujar Fauzi.