UiTM boleh beraksi baik, perlu perbaiki kekurangan -- Reduan Abdullah

Muzaffar Musa
April 25, 2021 09:50 MYT
Pemangku ketua jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah, berasakan pasukannya mampu beraksi dengan baik tetapi perlu memperbaiki kekurangan selepas tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City FC dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri semalam.
Reduan mengambil alih peranan Frank Bernhardt selepas pengendali dari Jerman itu direhatkan susulan prestasi buruk pasukan itu 10 April lalu.
Aksi terbaru di Shah Alam pula menyaksikan jaringan tunggal M. Tamilmaran pada minit ke-81 sudah cukup untuk meletakkan PJ City sebagai pemenang, sekali gus meranapkan impian UiTM untuk meraih kemenangan pertama musim ini.
Sebagai rekod, pasukan The Lions itu melalui 10 perlawanan pertama musim ini dengan satu keputusan seri dan sembilan kekalahan untuk terus terperosok di dasar Liga Super.
"Mereka boleh bermain dengan baik dan saya ingin melihat mereka beraksi dengan baik.
"Tetapi malam ini, saya dapat lihat sedikit kekurangan. Kalau dilihat sewaktu latihan, mereka bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu buat UiTM," katanya.
#Liga Super Malaysia #UiTM FC #Petaling Jaya City FC #Reduan Abdullah