Meskipun hala tuju dalam Liga Perdana musim depan masih menjadi tanda tanya, UiTM FC tetap memulakan persiapan bagi membentuk skuad lengkap dengan mengadakan sesi pemilihan terbuka selama empat hari di Stadium UiTM Shah Alam bermula semalam.

Menurut jurulatih berpengalaman merangkap panel pemilihan pemain kelab itu, Reduan Abdullah, setakat hari kedua sesi pemilihan berkenaan, segala-galanya berjalan dengan lancar dengan kehadiran pemain yang rata-ratanya berusia di bawah 26 tahun.

Reduan turut memberikan bayangan bahawa skuad UiTM kali ini akan dibarisi pemain muda, bahkan ada dalam kalangan mereka belum pernah beraksi sebagai pemain profesional.

"Ramai yang datang menunjukkan minat untuk bermain bola sepak tetapi kami perlu mencari yang terbaik untuk mengisi kekosongan dalam saingan Liga Perdana," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Jika ada bakat dalam kalangan umur bawah 20 atau 19 tahun, kami akan mengalu-alukannya.

"Apa yang penting, kami akan melihat dan menapis pemain yang akan disenaraikan dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Terdahulu, UiTM dilaporkan bakal menarik diri daripada saingan Liga Perdana 2022 berikutan masalah dana, di mana lebih separuh pemain musim lalu dikatakan telah meninggalkan kelab itu.