Aksi yang ditampilkan UiTM FC sehingga terikat 1-1 dengan Felcra FC dalam aksi Liga Perdana malam tadi membuktikan kelemahan ketara harus diperbaiki segera oleh jurulatihnya, Wan Mustaffa Wan Ismail, untuk menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pusingan ketiga Piala FA, Sabtu depan.

Jelasnya, kemenangan mampu berpihak kepada UiTM untuk meraih mata penuh di laman sendiri.

Namun, ketumpulan jentera serangan memberi peluang kepada pelawat untuk terus mengasak sebelum diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Justeru, barisan pemain harus segera memperkasakan jentera serangan bagi berdepan juara bertahan Liga Super itu supaya nanti tidak diaibkan di depan penyokong sendiri dengan jurang gol yang besar.

"Kami bukan menekankan kepada pertahanan, kami perlu menumpukan kepada aspek keseluruhannya, termasuk ketahanan dan keyakinan.

"Kami perlukan segala-galanya untuk memastikan kami berada di tahap tinggi bagi menentang JDT," katanya.

Jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese, pula lega dengan penalti yang dihadiahkan pada saat-saat akhir untuk memberikan satu mata berharga kepada mereka sambil menyifatkan anak buahnya berjaya menguasai semula permainan pada babak kedua.