UEL: Terlepas kejuaraan bukan kegagalan bagi Barcelona -- De Jong

Ammar Hakim
Mac 9, 2022 22:51 MYT
Frenkie de Jong menegaskan bahawa terlepas kejayaan menjuarai Liga Europa musim ini tidak akan dianggap sebagai kegagalan untuk Barcelona.
Gergasi Catalan itu lebih terbiasa dengan cabaran dalam Liga Juara-Juara (UCL), tetapi mereka gagal ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 2003-04.
Barca melepasi ujian pertama mereka dalam saingan kelab kedua UEFA dengan mengatasi pencabar kejuaraan Serie A, Napoli dengan agregat 5-3 bulan lalu untuk mara ke pusingan 16.
Pasukan kendalian Xavi akan berdepan Galatasaray seterusnya, dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Camp Nou awal pagi esok, dan dianggap sebagai pilihan terbaik untuk menjulang trofi Mei nanti.
Bagaimanapun, De Jong tidak percaya terdapat sebarang tekanan tambahan kepada pihaknya untuk memenuhi jangkaan sebagai pilihan saingan, walaupun ia adalah harapan terakhir mereka untuk menjulang trofi musim ini.
"Kami mahu berada dalam Liga Juara-Juara tetapi itu tidak berlaku pada masa ini," katanya.
"Sekarang kami mahu memenangi Liga Europa. Tetapi ia tidak akan menjadi kegagalan jika terlepas kejuaraan, kerana terdapat pasukan yang bagus, walaupun sudah tentu matlamatnya adalah untuk memenanginya.
"Biasanya kami mendesak untuk merebut semua gelaran dan jika kami mengukuhkan diri kami dengan baik, saya pasti musim depan kami akan bertarung untuk segala-galanya."