Manchester United tewas dalam aksi pembukaan Liga Europa selepas sepakan penalti Brais Mendez memberikan Real Sociedad kemenangan 1-0 di Old Trafford.

Perlawanan itu dilangsungkan 90 minit selepas Istana Buckingham mengesahkan Ratu Elizabeth mangkat pada usia 96 tahun.


Suasana hambar menyelubungi Old Trafford cerminan aksi yang dipamerkan pada 45 minit pertama.

Cristiano Ronaldo, turun dalam kesebelasan utama bersama Casemiro dan Harry Maguire, paling hampir untuk membuka jaringan namun tandukkannya dibatalkan selepas penjaga garisan mengibarkan bendera menandakan penyerang itu berada di kedudukan ofsaid.

Ronaldo memperoleh satu lagi peluang yang sama di separuh masa kedua, namun gagal menepati sasaran, dan Alexander Sorloth berdepan masalah sama bagi pelawat beberapa minit kemudian.

Sociedad mendahului sebelum perlawanan melewati 60 minit dalam keadaan bertuah, penalti diberikan selepas Lisandro Martinez yang meluru melakukan halangan percubaan daripada David Silva, bola terkena lututnya sebelum melantun ke lengan namun pengadil tetap memberikan penalti buat pelawat. Mendez tidak melakukan kesilapan memastikan jaringan buat skuad kendalian Imanol Alguacil.

Ronaldo cuba untuk menyamakan kedudukan, percubaannya daripada sepakan percuma gagal melepasi tembok pasukan lawan sekaligus menyaksikan rekod kemenangan empat perlawanan skuad kendalian Erik Ten Hag berakhir.