Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mempertahankan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menambah bilangan pasukan yang layak ke Piala Dunia daripada 32 kepada 48 pasukan pada edisi tahun 2026.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa FIFA di Zurich semalam, badan induk bola sepak Eropah itu mengeluarkan kenyataan untuk mengesahkan bahawa mereka memutuskan menyokong usul format baru itu kerana jelas sekali semua badan induk benua yang lain juga teruja untuk melebarkan penyertaan pasukan dalam Piala Dunia kepada 48 pasukan.

Sokongan itu hadir selepas Persatuan Kelab Eropah (ECA) menyatakan pendirian mereka berhubung perkara ini sekalipun UEFA kekal dengan format baru ini di mana soal bebanan tidak terletak di bahu pemain.

FIFA bercadang menggunakan sistem tiga pasukan dalam 16 kumpulan serta memperkenalkan pusingan 32 pasukan -- dengan jumlah 80 perlawanan dalam tempoh 32 hari pertandingan.

Jumlah pasukan yang diperuntukkan untuk setiap benua, bagaimanapun, masih lagi belum diputuskan.

"UEFA berpuas hati kerana penangguhan dalam menentukan jumlah pasukan yang diperuntukkan untuk sesebuah benua dalam format Piala Dunia pada masa depan," menurut kenyataan UEFA.

"Kami juga mahu menyatakan berpuas hati dengan format baru kejohanan ini tidak akan menambah bebanan ke atas pemain.

"Kami akan memastikan kepentingan kelab-kelab akan terus dilindungi."

Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengalu-alukan format baru itu yang berjaya direalisasikan.

"Kami telah berbincang dengan ECA bertahun-tahun lamanya," katanya sambil merujuk kepada kritikan ECA dalam konteks yang bercanggah dengan amalan bola sepak secara lazimnya.

"Saya mengenali mereka secara peribadi. Terdapat kegusaran daripada kelab tapi saya lebih berminat untuk fokus mengenai hal positif.

"Ramai yang menyokong keputusan ini. Sudah tentu kami telah membincangkan topik ini beberapa kali bersama kelab-kelab. Pokok utamanya adalah tidak menambah bilangan dalam kalendar yang membebankan pemain.

"Kita berada di alaf 21 dan kita perlu menganjurkan Piala Dunia di alaf 21. Kita perlu menonton bola sepak berbanding hanya aksi Eropah dan Amerika Selatan.

"Demam bola sepak di sesebuah negara yang layak adalah langkah promosi paling besar dalam bola sepak. Dari bulan November sehingga Jun di mana ia akan berlangsung, tempoh sembilan bulan itu adalah paling penting."