Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah melanjutkan larangannya ke atas pasukan Russia bagi mengambil bahagian dalam pertandingan Eropah untuk sekurang-kurangnya hingga akhir musim depan selain mengisytiharkan negara itu tidak layak membida sebagai Euro 2028 atau Euro 2032.

Russia dikenakan beberapa sekatan sukan berikutan pencerobohan negara itu terhadap negara jiran, Ukraine, Mac lalu yang menyaksikan kelab negara berkenaan disekat daripada bersaing dalam Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Persidangan Europa.

Tindakan keras itu akan kekal musim depan sementara usaha berani Russia untuk menjadi tuan rumah bagi pusingan akhir Kejohanan Eropah bagi dekad akan datang juga telah disekat kerana ia boleh mengheret prosedur bidaan atau bola sepak Eropah terpalit dengan imej buruk.

Malam tadi, badan induk bola sepak Eropah itu mengesahkan langkah terbaru terbabit selain turut mengumumkan pasukan kebangsaan lelaki Russia tidak dibenarkan untuk bersaing dalam kempen Liga Negara-Negara (UNL) akan datang, ini bermakna mereka secara automatik akan menduduki tangga tercorot Kumpulan 2 Liga B.

Bagi kategori wanita pula, tempat Russia dalam Kumpulan C, Euro 2022, Julai depan akan diambil oleh Portugal, iaitu pasukan yang mereka kalahkan dalam play-off.

Pasukan wanita Russia juga tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2023.

Oleh itu, saingan Kumpulan E akan diteruskan dengan membabitkan lima pasukan.

Begitu juga dengan pasukan lelaki B-21 yang dilarang menyertai kelayakan Kejohanan B-21 yang seterusnya.