Porto dan Sporting CP berdepan larangan digantung setahun dalam kempen Eropah jika mereka gagal membayar hutang tertunggak menjelang akhir bulan depan.

Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan sekatan yang dikeluarkan kepada lapan kelab kerana melanggar peraturan Kawalan Kewangan (FFP) yang ditetapkan.

Pendahulu Liga Primeira, Porto, dan pencabar terdekat, Sporting, masing-masing turut didenda €300,000 (RM1.4 juta) dan €250,000 (RM1.1j) dan tidak akan dibenarkan beraksi di peringkat Eropah dalam satu daripada tiga musim akan datang melainkan berjaya membuktikan bahawa tunggakan itu telah diselesaikan sebelum 31 Januari 2022.

Pasukan LaLiga, Real Betis, didenda RM1.1j sementara CSKA Sofia dan CD Santa Clara kedua-duanya diarah membayar €75,000 (RM359,037) dan Mons Calpe SC pula €15,000 (RM71,807).

Kesemua kelab itu juga menghadapi risiko kehilangan tempat dalam saingan kelab Eropah sama ada pada musim 2022-23, 2023-24 atau 2024-25 sekiranya mereka layak tetapi tidak melunaskan hutang mereka.

FC Astana dan CFR 1907 Cluj masing-masing didenda €150,000 (RM718,074) dan €200,000 (RM957,432) tetapi tidak berdepan penggantungan.

Jawatankuasa Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA yang baru ditubuhkan juga mendapati bahawa AEK Athens tidak mematuhi beberapa pelesenan kelab dan peraturan FFP.

Kelab Greece itu bersetuju untuk membayar tanpa syarat sebanyak €1.5 juta (RM7.18j) manakala 10 peratus daripada hadiah wang UEFA yang mereka hasilkan dalam perlawanan kelab UEFA juga akan ditahan sekiranya mereka layak pada masa depan.