Kyle Walker digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berikutan kad merah yang dikutipnya dalam kekalahan Manchester City kepada RB Leipzig, bulan lalu.

Pertahanan sayap England itu dibuang padang kerana mengasari Andre Silva pada lewat perlawanan ketika City tewas 1-2.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu telah pun layak ke pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) tetapi kini perlu turun tanpa kelibat Walker untuk kedua-dua perlawanan menentang Sporting CP.




UEFA mengesahkan hukuman itu dalam satu kenyataan malam tadi dengan menyifatkan terjahan keras berkenaan sebagai satu bentuk "serangan".

Pemain berusia 31 tahun itu juga akan terlepas perlawanan pertama suku akhir sekiranya City lolos.

Walker muncul pemain England kedua tertua yang dibuang padang dalam kempen UCL selepas Paul Scholes mengalami nasib serupa ketika Manchester United menentang Roma pada April 2007 (32 tahun, 139 hari).