Thomas Tuchel menganggap kejayaan memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea musim lalu sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang bergelar jurulatih tetapi mencabar The Blues agar terus bernafsu untuk mengekalkan dan memenangi pencapaian terbesar tu.

Kai Havertz menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Chelsea bergelar juara Eropah buat kali kedua dengan menewaskan Manchester City 1-0 dalam final di Lisbon, Mei lalu.

Ia menjadi satu kejayaan luar biasa dicetuskan Tuchel, yang baru sahaja mengambil alih pasukan itu daripada Frank Lampard awal tahun ini.

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Jerman itu menggesa pasukannya untuk kembali fokus dan mencipta budaya kemenangan.

"Saya boleh katakan ia benar (kejayaan terbesar saya) tetapi secara umumnya, saya dapati agak sukar untuk menilai sesuatu kejayaan kerana siapa yang mahu mengadilinya dan siapa yang mahu tahu mengenainya?" kata Tuchel menjelang perlawanan pembukaan UCL menentang Zenit awal pagi esok.

"Saya mencuba bersama staf saya untuk memberikan yang terbaik semampu saya dan mengeluarkan yang terbaik daripada pasukan saya. Saya melakukannya sejak menjadi jurulatih di peringkat B-14 di akademi dan melakukannya sehingga kini.

"Daripada pandangan luar, bercakap mengenai trofi, ia ternyata gelaran terbesar yang saya pernah menangi setakat ini.

"Ia satu malam yang besar dan pengalaman yang besar. Ia rasa seperti sudah terlalu lama. Ia rasa seperti ia layak untuk berasa seperti itu," katanya.

Tuchel mengakui mentalitinya berubah selepas menjadi jurulatih yang memenangi UCL tetapi menegaskan tiada sebarang perubahan daripada segi keinginan untuk mendapatkan kejayaan.

"Adakalanya saya rasa berbeza, benar, saya berasa amat baik. Ia sesuatu yang sukar. Saya fikir pada akhirnya, tiada apa yang dapat dibandingkan dengan kemenangan itu. Saya amat bertuah kerana layak ke final (bersama Paris Saint-Germain) musim sebelumnya dan mempunyai perasaan bahawa ia satu kejayaan yang besar.

"Tetapi tidak dapat melakukan langkah terakhir adalah satu perbezaan yang besar apabila anda menyedari apa maknanya untuk menamatkannya dengan kejayaan -- persepsi dari luar, kegembiraannya, keyakinan yang pasukan anda ada selepas memenanginya.

"Kami mempunyai perasaan itu sewaktu layak ke separuh akhir dan final. Ia satu langkah yang besar tetapi apabila anda memenanginya, tiada apa dapat dibandingkan dengannya. Ia mengubah semua orang.

"Perkara paling penting adalah untuk tidak memandang ke belakang, untuk terus bernafsu, kemenangan akan mengekalkan nafsu itu, ia menjadi satu ketagihan, perlawanan ini adalah untuk dimenangi.

"Kemenangan mengubah perasaan, suasana dalam membinanya, suasana yang berkesan dan memberikan anda keyakinan," tambahnya.