Pertahanan Bayern Munich, Dayot Upamecano, mungkin berdepan sengit untuk merebut tempat, tetapi Julian Nagelsmann menjelaskan anak buahnya itu amat tenang sampaikan hendak memukul nyamuk pun tidak sampai hati.

Mereka berdua meninggalkan RB Leipzig untuk menyertai juara Bundesliga sembilan berturut-turut itu pada awal musim ini.

Bayern akan menentang Benfica dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) selepas permulaan yang memberangsangkan membelasah Barcelona 3-0 dan menang 5-0 ke atas Dynamo Kiev.

Dalam masa sama, Manuel Neuer mengintai penampilan ke-100 dalam kempen elit itu untuk diangkat sebagai pemain keempat gergasi Jerman berkenaan yang mencapai tahap sedemikian.

Sambil dibantu Neuer, Upamecano mengukuhkan kedudukannya di bahagian benteng Bayern, lantas Nagelsmann yakin tetap ada elemen keras dalam permainannya di sebalik kelembutan sikap pemainnya itu.

"Upamecano telah melalui satu perkembangan yang luar biasa, dia memiliki genetik pertahanan yang luar biasa," kata pengurus muda itu.

"Dia gemar bertahan. Jelas sekali dia mempunyai fizikal yang baik. Dia kelihatan seperti marah tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Dia adalah seorang yang sangat baik dan mendamaikan yang mempunyai watak yang hebat. Saya suka bekerja dengannya. Dia agak pemalu dan introspektif tetapi dia adalah manusia yang hebat.

"Dia kelihatan bengis. Malah, saya rasa dalam hidupnya tidak pernah menampar nyamuk di dinding pun dan mungkin tidak akan melakukannya pada masa depan. Daripada segi keluarga, dia menempuhi banyak perkara positif ketika menjadi dewasa. Anda boleh mengesannya hari ini."



Bercakap sempena pertemuan dengan Benfica, awal pagi esok, Nagelsmann menambah: "Saya menjangkakan Benfica akan menjadi sebuah kelab sinonim dari Portugal yang menampilkan pemain hebat.

"Saya memiliki beberapa nama yang menjadi tunjang pasukan lawan tetapi saya tidak mahu sebutkan namanya kerana maklumat ini boleh digunakan oleh mereka sebagai bentuk persiapan.

"Tapi asasnya mereka sebuah pasukan yang gemar memegang bola dan sudah terbiasa dalam kancah liga mereka. Mereka memiliki statistik berbeza dalam dua perlawanan UCL terdahulu berbanding liga."