Mohamed Salah sedar Liverpool tidak berada dalam keadaan terbaik tetapi berkata mereka perlu meneruskan perjuangan dalam menghadapi baki saingan musim ini selepas layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Salah menjaringkan golnya yang ke-25 musim ini dan Sadio Mane kemudian menghasilkan jaringan kedua Liverpool dalam babak kedua ketika The Reds menewaskan RB Leipzig 2-0 dan meneruskan kemaraan dengan agregat 4-0 awal pagi tadi.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkunjung ke Budapest bagi perlawanan kedua pusingan 16 berkenaan selepas merekodkan enam kekalahan berturut-turut di laman sendiri musim ini -- susulan kekalahan terbaru kepada Fulham minggu lalu.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berdepan kesukaran untuk memastikan kedudukan empat teratas liga selepas tergelincir ke tangga kelapan dan mungkin perlu menjuarai UCL seandainya mahu kekal beraksi dalam kejohanan itu musim depan.

Liverpool memberikan terlalu banyak ancaman di Arena Puskas, tempat di mana Salah dan Mane turut menjaringkan gol dalam perlawanan pertama, dengan melakukan tujuh percubaan tepat daripada 12 secara keseluruhan dan langsung tidak kelihatan seperti sebuah pasukan yang sudah hilang keyakinan.

Salah berkata juara Eropah enam kali itu tidak sepatutnya meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri mereka sendiri dalam usaha untuk mengubah nasib mereka musim ini.

Dia berkata kepada BT Sport: "Ia keputusan yang besar buat kami. Kami datang ke sini selepas tewas beberapa perlawanan dalam EPL. Pasukan ini tidak berada dalam keadaan terbaik tetapi kami mahu berjuang dalam UCL dan juga berjuang dalam EPL dan melihat apa yang boleh berlaku.

"Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol. Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol hari ini dan pasukan kami menang. Itulah perkara paling penting.

"Kami berdepan beberapa kecederaan musim ini, kami tidak bernasib baik tetapi perkara paling penting adalah kami terus berjuang. Kami hanya perlu menghadapi setiap perlawanan pada satu-satu masa dan tidak melihat gambaran besarnya kerana jika anda melihat kepada gambaran besar itu, ia akan memberikan terlalu banyak tekanan.

"Ia sesuatu yang sukar dalam EPL, kami tidak mahukan ia menjadi sesukar ini. Ia sebahagian daripada permainan ini. Sepanjang beberapa tahun lalu, kami sentiasa menang dan cemerlang. Tahun ini, kami berdepan kecederaan dan ia amat sukar. Harap-harap, dengan kini kami memiliki dua atau tiga atau empat pertahanan tengah, kami dapat terus menang," katanya.