VILLAREAL 0 MAN UTD 2

Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick, amat teruja dengan Jadon Sancho selepas pemain sayap itu menamatkan penantian untuk menggegar gawang lawan dalam kemenangan ke atas Villarreal.


Dalam perlawanan pertama mereka sejak pemecatan Ole Gunnar Solskjaer, The Red Devils memperoleh kemenangan 2-0 di Sepanyol, sebentar tadi, untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Cristiano Ronaldo memecah kebuntuan perlawanan selepas Fred menekan benteng lawan sementara Sancho memastikan kemenangan mutlak itu dengan penyudah kencang menerusi satu serangan balas pada minit ke-90.

Sancho telah terbabit dalam14 penampilan dengan menghasilkan 10 percubaan tanpa menjaringkan sebarang gol sejak dibeli daripada Borussia Dortmund dalam jendela perpindahan lalu.

Keputusan itu bermakna Carrick menjadi pengurus Inggeris pertama yang memenangi perlawanan pertamanya ketika mengendalikan kelab berkenaan sejak pencapaian Walter Crickmer pada 1931, dan bekas pemain tengah itu nyata gembira dengan semangat juang anak buahnya ketika meniti kemenangan.

"Bagi saya ia adalah cara terbaik untuk menang," katanya kepada BT Sport.

“Kami perlu menunjukkan beberapa karakter, kami perlu bekerja keras, berjuang.

“Rentak awal kelihatan seperti tidak akan memihak kami dan selepas rehat, kami kembali bersatu dan pemain telah menghasilkan impak besar.

“Itu sahaja yang saya boleh harapkan: barisan pemain memberikan segala-galanya.

"Fred beraksi dengan hebat. Dia memenangi bola, itu yang kami harapkan daripadanya dan kami memang memerlukannya. Apabila Ronaldo mendapat peluang seperti itu, dia akan menyudahkannya.

"Jaringan Jadon pula cemerlang. Saya tahu betapa Jadon lebih gemar bola berada di kakinya dan akan cuba untuk melakukan sesuatu. Dia paling gembira di situ tetapi saya fikir di sudut berbeza, dia melakukan usaha sebenar ketika bertahan apabila kami memerlukannya. Ia adalah satu malam yang begitu bermakna buatnya."







Villarreal menikmati peluang yang lebih baik pada awal babak apabila sering menguji ketangkasan David de Gea termasuk ketika menafikan percubaan Manu Trigueros.

Carrick berasakan pasukannya perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhati-hati memandangkan perlawanan itu dilangsungkan tiga hari selepas kekalahan 1-4 kepada Watford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menamatkan era Solskjaer sebagai pengurus.

"Kami datang ke mari untuk memenangi perlawanan. Saya percaya kami mampu melakukannya, saya percaya kami sudah bersedia untuk itu," katanya lagi.

"Ia bukan satu perlawanan yang mudah. Ia adalah perlawanan yang sukar, Villareal sebuah pasukan yang bagus bagi mereka yang tidak begitu banyak menontonnya. Villareal membuatkan kami terpaksa bekerja keras.

“Saya fikir pemain saya perlukan masa apabila terpaksa berjuang dan lebih berusaha, jadi saya gembira dengan cara ia berakhir.

"Sejujurnya, sejak awal lagi saya tidak fikir kami mampu turun sambil berharap dapat memperagakan satu permainan yang cantik. Apabila anda mengalami keputusan yang tidak memberangsangkan dan tidak berada dalam prestasi yang hebat secara individu mahupun sebagai sebuah pasukan, maka bukan mudah untuk beraksi dan mengharapkan semuanya menjadi."