Prestasi Eden Hazard ketika Real Madrid tumbang 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) mengundang kritikan bekas penggempur Barcelona dan Brazil, Rivaldo, yang mengatakan Los Blancos bernasib baik "dapat mengelak daripada kekalahan memalukan dalam sejarah" di Parc des Princes.

Bekas bintang Chelsea itu hanya membuat satu percubaan yang tidak menepati sasaran serta satu lorongan penting sebelum pengurus, Zinedine Zidane, bertindak menggantikannya dengan Lucas Vazquez pada minit ke-70, dengan PSG sedang mendahului 2-0.

Rivaldo menyatakan kekagumannya terhadap juara Perancis berkenaan, namun mempersoalkan kekuatan skuad kendalian Zidane itu yang gagal menampung ketiadaan Luka Modric yang tercedera selain penggantungan Sergio Ramos.

"PSG memberikan persembahan mantap walaupun tanpa Neymar dan Mbappe yang merupakan bintang utama mereka," kata Rivaldo kepada AS.

"Real Madrid berjaya mengelak daripada kekalahan bersejarah.

"Eden membuat penampilan buruk dalam perlawanan sulungnya bersama Real Madrid dalam UCL tetapi sungguhpun anda merupakan seorang pemain handalan, anda tetap memerlukan rakan sepasukan untuk membantu anda untuk menyinar dan membuktikan nilai tinggi anda.

"Apabila anda tidak mempunyai pemain yang sesuai untuk membekalkan pemain gantian dengan kualiti yang setara, maka perkara itu boleh bertukar menjadi buruk. Saya berasa Zidane mungkin perlu memantau pasaran Januari depan untuk merekrut seorang dua pemain yang hebat bagi menyuntik semangat pasukannya.

"Saya fikir Zidane berdepan tugasan berat untuk mengembalikan (kegemilangan) pasukan ini selepas dia memenangi tiga trofi UCL berturut-turut."

Berdasarkan pemerhatiannya terhadap bekas kelabnya, Barca, Rivaldo mengambil pendekatan berhati-hati ketika bercakap mengenai potensi pemain berusia 16 tahun, Ansu Fati.

Pemain remaja dari Guinea-Bissau itu telah membuat tiga penampilan LaLiga untuk skuad bimbingan Ernesto Valverde itu musim ini serta membuat penampilan sulung dalam UCL ketika seri tanpa jaringan dengan Borussia Dortmund, semalam.

Fati bermain sepanjang 59 minit permainan sebelum digantikan dengan Lionel Messi tetapi Rivaldo berkata masih terlalu awal untuk membuat perbandingan di antara kedua-duanya.

Dia berkata: "Ia akan meletakkan terlalu banyak tekanan ke atas bahunya, dia adalah seorang budak yang masih belum menjadi anggota tetap skuad utama.

"Berikan dia masa dan ruang untuk bermain dan pada masa akan datang, kita akan melihat sama ada dia mampu menjadi Messi baru atau tidak."