Ralf Rangnick mengakui persembahan Manchester United tidak begitu baik ketika seri 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara dengan Young Boys, tetapi menegaskan pasukannya mampu memenangi perlawanan itu.

Dengan United sudah sah sebagai pemenang peringkat kumpulan, Rangnick mengambil peluang untuk merombak skuad dalam aksi awal pagi tadi dengan 11 pertukaran berbanding pasukan yang melakar kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Mason Greenwood membuka jaringan di Old Trafford dengan penyudah yang menakjubkan pada awal permainan tetapi Young Boys menyamakan kedudukan menerusi Fabian Rieder tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama dan menjadi pasukan yang lebih baik pada separuh masa kedua, menamatkan perlawanan dengan 17 percubaan ke arah United.

Rangnick merasakan anak buahnya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama tetapi menunjukkan kekurangan mereka antara satu sama lain ketika beraksi sebagai sepasukan.

"Saya menyedari sepenuhnya sebelum perlawanan bahawa dengan pasukan yang kami main hari ini, mereka kurang bermain bersama," kata Rangnick kepada BT Sport selepas perlawanan.

"Separuh masa pertama kami melakukannya dengan baik. Kami mempunyai beberapa kesilapan tetapi berjaya mengawal permainan. Kami sepatutnya mendahului 2-0 atau 3-0. Kami mempunyai beberapa peluang hebat tetapi kami tidak menjaringkan gol. Gerakan kami agak kurang kemas dengan situasi tersebut.

"Selepas kami melepaskan gol penyamaan kami tidak bertahan cukup tinggi atau cukup proaktif. Jika perlawanan ini beraksi 4-4, mungkin tiada siapa yang memberikan kritikan.

"Terdapat beberapa pemain melakukan penampilan sulung dan terdapat pemain yang memerlukan masa beraksi. Saya tidak akan mengatakan saya gembira tetapi tetap berpuas hati dengan keputusan ini."