MAN CITY 2 PSG 1

Mauricio Pochettino enggan menutup khabar angin bahawa dia berminat untuk mengemudi Manchester United selepas Paris Saint-Germain (PSG) tewas kepada Manchester City.


Pendahulu Ligue 1 itu mendahului perlawanan di Stadium Etihad itu tetapi jaringan Raheem Sterling dan Gabriel Jesus memastikan kemenangan 2-1 tuan rumah untuk menguasai tempat teratas Kumpulan A, Liga Juara-Juara (UCL).

Perlawanan itu dibayangi spekulasi mengenai masa depan Pochettino, dengan bekas pengurus Tottenham itu dikatakan antara sasaran utama The Red Devils untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Walaupun menegaskan sebelum perlawanan bahawa dia komited dengan PSG, khabar angin terus bertiup kencang bahawa pengurus dari Argentina itu berminat untuk kembali membawa keluarganya ke England dan akan menikmati peluang untuk mengambil alih peranan di Old Trafford.

Bercakap selepas kekalahan pasukannya di Manchester, Pochettino enggan menolak kemungkinan untuk berpindah.

"Pemain menyedari situasi ini," katanya menurut L'Equipe.

Khabar angin berlegar berhubung situasi ini, ada yang positif dan ada pula yang negatif. Sekarang bukan masa untuk bercakap mengenainya.

"Kami perlu memperbaiki semua aspek, semua posisi. Kami sedang menuju ke arahnya. Saya gembira dengan proses itu. Ada perkara kini menjadi lebih baik berbanding sebulan lalu. Sedikit demi sedikit, pasukan akan bertambah baik."






City kelihatan pasukan yang lebih memperkasa dalam pertemuan itu apabila melengkapkan 16 percubaan tepat berbanding tujuh oleh pelawat.

Malah, anak buah Pep Guardiola melakukan 37 sentuhan di dalam kotak penalti lawan sementara wakil Ligue 1 itu hanya mampu melengkapkan 10 kali -- secara tidak langsung menghadkan impak Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Pochettino akur pasukannya gagal menyerlah dalam separuh masa pertama tetapi berasakan permainan mula berada di bawah kawalan mereka sebaik mereka mendahului.

"Terdapat dua bahagian," katanya.

"Mereka bermula dengan lebih baik. Mereka sangat agresif dalam melakukan tekanan. Wujud beberapa aspek yang baik tetapi yang lain perlu diperbaiki.

"Ketika di kedudukan 0-0 pada masa rehat, kami mampu menyelesaikan beberapa masalah. Perlawanan menjadi terkawal di kedudukan 1-0. Saya kecewa dengan keputusan ini. Kami perlu membuat kemajuan pada setiap hari."