Davide Calabria memberi amaran kepada Milan apabila menyifatkan pertembungan dengan Porto awal pagi esok sebagai peluang terakhir mereka untuk kekal dalam kancah Liga Juara-Juara (UCL).

Rossoneri berada di tangga tercorot Kumpulan B selepas tewas ketiga-tiga perlawanan kepada Liverpool, Atletico Madrid dan Porto dan diambang rekod lima kekalahan terburuk dalam sejarah pembabitan mereka.

Sekiranya mereka tewas kepada pasukan bimbingan Sergio Conceicao itu di San Siro sementara Atletico menewaskan Liverpool di Anfield, maka Milan tidak akan mampu menamatkan saingan di tempat kedua terbaik kumpulan dan ini bermakna kempen Eropah pada 2021-22 mereka akan berakhir.

Di sebalik prestasi di peringkat domestik Milan kukuh -– memenangi 10 daripada 11 perlawanan Serie A musim ini -- tahap persembahan mereka belum meyakinkan ketika menentang Porto apabila hanya mampu mengatur empat percubaan untuk angka terendah dalam sebuah perlawanan.

Calabria berasakan Milan sepatutnya memungut sekurang-kurangnya beberapa mata daripada tiga hari perlawanan pertama dan akur terdesak untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka untuk mara selepas lapan tahun kemarau beraksi di pentas UCL.

"Kami sedar ini adalah peluang terakhir kami untuk kekal dalam UCL," kata pemain pertahanan itu.

"Kami percaya dengan kemampuan sendiri dan kami mempunyai kualiti untuk mempamerkan prestasi hebat sejak sepak mula untuk kekal dalam saingan ini.

"Detik tertentu telah meletakkan kami di kedudukan ini. Kami tidak berhak tetapi saya yakin kami mempunyai potensi untuk melakukan yang lebih baik dan meraih mata bermula esok.

"UCL merupakan perlawanan yang melibatkan perincian yang lebih baik dan beberapa butiran tidak memihak kami. Malangnya kami sepatutnya meraih keputusan yang lebih baik tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan. Kami diundi dalam sebuah kumpulan yang menarik kecuali untuk perlawanan di Portugal."