Liverpool tidak akan dibenarkan berkunjung ke Jerman untuk pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan RB Leipzig, menurut pegawai kerajaan.

The Reds dijadualkan menghadapi kelab Bundesliga itu di Red Bull Arena pada 16 Februari depan untuk pertemuan pertama aksi kalah mati berkenaan.

Bagaimanapun, sekatan yang diperkenalkan di Jerman sejak Sabtu lalu melarang pengunjung dari kawasan terjejas oleh mutasi COVID-19 untuk sekurang-kurangnya hingga 17 Februari depan.

Pengecualian hanya untuk warga negara Jerman atau penduduknya, namun sukan elit tidak mendapat tempat.

"Ordinan Perlindungan Corona yang disahkan oleh pemerintah Jerman pada Jumaat lalu hanya memberikan beberapa pengecualian dan tiada peraturan khusus terhadap atlet profesional," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jerman.

"Polis Persekutuan hari ini memaklumkan kepada kelab RB Leipzig bahawa perlawanan itu tidak terkecuali."

Peraturan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak menolak jadual perlawanan dirombak dengan Anfield secara teorinya mungkin dipilih sebagai tuan rumah untuk perlawanan pembukaan.

Perlawanan juga mungkin diadakan di venue berkecuali mahupun melangsungkan satu perlawanan sahaja di peringkat itu.

Ketika dihubungi oleh Stats Perform News, badan induk Eropah itu menjelaskan pihaknya masih dalam perbincangan dengan kedua-dua kelab tersebut termasuk Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) yang sedang berurusan dengan Kerajaan Jerman.