Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, tidak dapat menggunakan khidmat Neymar dan Leandro Paredes menjelang perlawanan menentang RB Leipzig dalam Luga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Bintang Brazil, Neymar, kembali daripada tugasan antarabangsa dengan kecederaan adductor meskipun menyerlah dengan satu gol dan dua bantuan jaringan ketika menewaskan Uruguay 4-1 minggu lalu.

Parades pula dikeluarkan dalam babak kedua ketika Argentina menewaskan Peru 1-0 kerana mengalami kecederaan quadriceps dan turut terpaksa direhatkan.

Kedua-dua pemain itu akan menyertai Sergio Ramos -- yang masih belum membuat sebarang penampilan bersama PSG -- dalam senarai kecederaan pasukan itu manakala Angle Di Maria pula digantung perlawanan dan Mauro Icardi tidak menjalani latihan kerana masalah peribadi.

"Keutamaannya akan sentiasa mengenai kesihatan pemain. Dalam kes ini (kecederaan Neymar) ia merupakan masalah kecil tetapi kami berharap ia merupakan sesuatu yang kami hanya memerlukan beberapa hari untuk menyelesaikannya," kata Pochettino.

Pertahanan PSG, Presnel Kimpembe, turut meluahkan perasaannya selepas sah akan beraksi dalam perlawanannya yang ke-14 musim ini dengan dan ia bermakna, dia telah melalui tempoh 1076 minit di atas padang dalam kesemua kejohanan setakat ini.

"Jelas ada kelesuan yang sama seperti mana-mana pemain, rentetan perlawanan yang kami lalui bukan sesuatu yang mudah tetapi saya sentiasa bersedia untuk pasukan ini.

"Jika saya berada di atasa padang, ia kerana saya mempunyai kapasiti itu.

"Jurulatih tahu bahawa saya seorang pejuang, saya seorang tentera. Jika saya dipanggil, saya akan memberikan respons," kata Kimpembe.