Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, berkata dia tiada sebarang keraguan bahawa Lionel Messi akan terus mempamerkan aksi di tahap tertinggi bersama pasukan gergasi Ligue 1 itu.

Messi dan PSG akan menantikan kunjungan RB Leipzig dalam perlawanan ketiga Kumpulan A, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Selepas menjaringkan gol kemenangan PSG ke atas Manchester City tiga minggu lalu, Messi kelihatan akan menyertai rakan sepasukannya, Neymar (2017), Alex (2012) dan George Weah (1994) menjaringkan gol dalam dua penampilan UCL pertama bersama kelab berkenaan.

Ketika Messi masih tercari-cari rentak sebenar di ibu kota Perancis itu -- sejak perpindahan blokbusternya daripada Barcelona -- Pochettino memberikan pujian buat pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan.

"Leo (Messi) akan menyinar dengan sendiri. Dia sudah bergemerlapan di Barcelona, dia bersinar bersama Argentina dan akan bersinar di PSG," kata Pochettino kepada wartawan ketika PSG kini berkelebihan empat mata di depan Club Brugge -- satu mata di depan City dan empat mata mengatasi Leipzig.

"Dia sudah dapat menyesuaikan diri sepenuhnya, dia mempunyai kepintaran dan kemampuan untuk menyesuaikan diri di tahap tertinggi.

"Dia kini lebih tenang dan dengan pengalaman berada di kelab dan bandar ini selama beberapa bulan, dia amat gembira.

"Kami amat gembira dan kami menjangkakan segala-galanya akan berlaku secara sendiri dan dia akan beraksi seperti yang dia harapkan dan semua orang harapkan. Saya tiada keraguan mengenainya," katanya.