Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak minat dengan gaya permainan Atletico Madrid tetapi berkata dia amat kagum dengan Diego Simeone.

Klopp mempersoalkan cara permainan bertahan Atletico selepas pasukan Sepanyol itu menyingkirkan Liverpool dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2019-20.

Selepas tewas 2-3 (2-4 secara agregat) dalam perlawanan itu, Klopp berkata bahawa dia "tidak faham mengapa mereka (Atletico) bermain seperti itu dengan kualti yang mereka ada".

Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu di Wanda Metropolitani awal pagi esok dan di Anfield dua minggu depan, di mana ia dilihat sebagai pertemuan paling menarik dalam saingan Kumpulan B.

Liverpool setakat ini telah mengumpulkan enam mata daripada dua perlawanan pertama dan berkelebihan dua mata di depan pasukan di tangga kedua, Atletico, selepas juara LaLiga itu terikat dengan Porto dan meraih kemenangan lewat permainan ke atas AC Milan.

Klopp, bagaimanapun, memuji rakan sejawatannya, Simeone, menjelang kunjungan Liverpool ke ibu kota Sepanyol berkenaan, di mana jurulatih berbangsa Argentina itu telah memenangi lapan trofi dan layak ke final UCL sebanyak dua kali sepanjang sedekad mengendalikan Atletico.



"Saya marah dan kecewa terhadap banyak perkara ketika saya luahkan apa yang saya ucapkan selepas perlawanan terakhir itu," kata Klopp dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kami berdepan pasukan yang dipenuhi dengan pemain berkelas dunia dan mereka bertahan semahu-mahunya. Itu mungkin sebab saya memperkatakan seperti itu.

"Saya amat menghormati apa yang mereka lakukan. Adakah saya meminati apa yang mereka lakukan? Tidak terlalu minat. Tetapi itu hanya untuk saya. Saya menggemari cara permainan yang berbeza. Tetapi mungkin itu yang berhasil buat Atletico, saya amat pasti.

"Simeone merupakan penyandang juara Sepanyol. Dia sudah berada di sana buat sekian lama dan amat berjaya.

"Mereka kini bermain dengan sistem yang berbeza tetapi masih mendapatkan banyak keputusan yang baik. Bagaimana Simeone mengekalkannya dengan cara berlawan yang mereka tunjukkan, saya tidak pasti.

"Mereka menandatangani pemain yang baik dan kelihatan sebagai pasukan yang sesuai untuk bergelar juara LaLiga musim ini. Ia luar biasa.

"Jadi benar, apa yang saya katakan dulu mungkin dipengaruhi dengan keadaan saya pada hari itu," katanya.