Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel, tidak percaya aksi final Liga Juara-Juara (UCL) esok menentang Manchester City bergantung kepada pertempuran taktikal antara dirinya dan Pep Guardiola.

Banyak yang telah didedahkan mengenai persahabatan Tuchel dan Guardiola serta saling mengagumi antara satu sama lain dalam menjayakan pertemuan di Estadio do Dragao.

Bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) kembali ke final kurang daripada setahun selepas gergasi Ligue 1 itu tewas kepada Bayern Munich dan berasakan banyak faktor akan berlaku -- termasuk kemenangan Chelsea ke atas City dalam Piala FA dan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

"Ini jauh lebih daripada itu. Saya tidak akan berasakan ini merupakan pertarungan antara saya dan Guardiola," katanya pada sidang akhbar sebelum perlawanan di Porto. "Kami tidak akan mengadakan perlawanan tenis esok.

"Kami tiba bersama pasukan kami. Pep akan mempersiapkan pasukannya dan saya akan mempersiapkan pasukan saya dengan cara terbaik.

"Kami mempunyai dua pengalaman berbeza melawan mereka dalam pertandingan yang berbeza. Dua perlawanan yang berbeza, dua barisan pemain yang berbeza. Esok saya berasakan mereka akan menjadi barisan pemain yang sangat berbeza berbanding Man City."

Guardiola banyak melakukan pertukaran dalam kesebelasan utama City dalam dua pertemuan dengan Chelsea, seperti apa yang dilakukan dalam saingan UCL bertemu Borussia Dortmund dan PSG.


"Selalu sukar untuk bertemu City, Bayern atau Barcelona ketika Pep bertindak sebagai pengendali. Dia mencipta pasukannya dengan kepercayaan besar dan mentaliti untuk terus menang.

"Mereka mungkin, ketika ini, pasukan terkuat dunia. Mereka menghasilkan jurang dalam saingan liga.

"Kami cuba merapatkannya selama 90 minit di Wembley dan itu yang mahu kami lakukan esok."