Massimiliano Allegri menegaskan Juventus tidak boleh terbawa-bawa dengan penampilan mereka yang semakin meningkat memandangkan mereka belum mencapai sebarang kejayaan musim ini.

Bianconeri bergelut pada awal kendalian semula Allegri apabila tewas dua perlawanan liga berturut-turut selepas sekadar seri dalam aksi pembukaan Serie A menentang Udinese.

Namun, setelah mengalahkan Roma 1-0, kelmarin, Juve kini telah memenangi enam perlawanan berturut-turut ketika mereka bersiap-sedia untuk menggempur Zenit dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Begitupun, di sebalik perubahan positif daripada segi keputusan, Allegri menolak tanggapan bahawa peningkatan prestasi pasukannya itu boleh dilihat sebagai titik kejayaan apabila memberi amaran bahawa Juve belum mencapai apa-apa kejayaan.

"Ia bukan titik tolak musim ini, kami memerlukan keputusan," katanya kepada wartawan dalam sidang media sebelum perlawanan esok.

"Persembahan kami bertambah baik; kami juga meningkat di ruang sepertiga terakhir di mana kami memerlukan sedikit ketajaman.

"Pada awalnya, kami membuat persembahan yang baik tetapi keputusan pula tidak menyebelahi kami, seiring dengan kesilapan kami.

"Kami perlu tenang; Kami tidak perlu mendabik dada ketika ini kerana kami belum mencapai apa-apa kejayaan pun."






Juve belum pernah kalah ketika berdepan wakil Russia di Eropah dalam lapan pertemuan sebelum ini, bahkan mereka juga ingin memenangi tiga perlawanan pembukaan UCL buat julung kalinya sejak 2018-019 - sekali lagi di bawah kendalian Allegri.

Bianconeri juga berjaya mengekalkan rekod bersih dalam empat perlawanan terakhir UCL, maka tidak hairanlah Allegri menjelaskan pertahanan mereka yang kembali kental sebagai faktor asasnya.

"Saya tersentuh apabila mereka melabel ini adalah 'Juve anda'," kata pengurus itu mengenai identiti pasukannya.

"Saya memiliki pemain yang bagus, pada awalnya saya tidak mengenali mereka semua dengan baik. Buat masa ini, pasukan juga gemar bertahan dan ini adalah satu perkara yang bagus.

"Kami perlu perbaiki prestasi -- baik di bahagian serangan mahupun pertahanan -- kerana ia akan meningkatkan harga diri kami selain membolehkan kami dapat bekerja dengan lebih tenang."