Real Madrid akan menghadapi Juventus dalam ulangan final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu sementara peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, akan dicabar Liverpool di peringkat suku akhir.

Dalam majlis undian UCL di Nyon, Switzerland sebentar tadi, juara bertahan, Madrid, harus melepasi halangan Juventus jika mereka berhajat mempertahankan trofi itu buat tahun ketiga berturut-turut, yang menyaksikan mereka menundukkan jaguh Serie A itu 4-1 dalam perlawanan akhir di Cardiff, Mei tahun lalu.

Los Blancos akan beraksi di laman sendiri untuk pertemuan kedua dengan aksi pertama akan berlangsung di Turin pada 3 atau 4 April.

Manchester City pula akan bertandang ke Anfield untuk pertemuan mereka sambil Pep Guardiola mengintai gelaran Eropah ketiganya.

Stadium Etihad bakal menjadi tuan rumah kepada aksi timbal balik pada 10 atau 11 April.

Selain itu, Sevilla yang mengetepikan Manchester United dalam pusingan 16, bakal berdepan gergasi Jerman, Bayern Munich, yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dalam pertemuan kedua.

Satu lagi wakil Serie A, AS Roma, berdepan tugas getir apabila bakal berdepan Barcelona.

Roma akan bermain di Stadio Olimpico dalam pertemuan kedua.