VIKTORIA PLZEN 0 INTER MILAN 2

Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, mengakui bahawa Viktoria Plzen memaksa mereka memberikan segala-galanya sebelum mencatatkan kemenangan 2-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Arena Doosan awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Edin Dzeko muncul pemain paling menyerlah dengan menjaringkan gol pembukaan pelawat pada minit ke-20 sebelum membantu jaringan Denzel Dumfries pada minit ke-70.

"Kami gembira (dengan kemenangan ini) kerana kami sedar lawan kami kali ini tidak boleh dipandang mudah, tiada pasukan Itali pernah menang di Plzen sebelum ini," kata Inzaghi dalam sidang media.

"Pemain kami melakukannya dengan amat baik dan mengekalkan tumpuan mereka.

"Kami sedar ia akan menjadi permulaan musim yang sukar, terutama disebabkan masalah kecederaan yang sedang kami hadapi tetapi pasukan ini sentiasa berkembang dan tahap kecergasannya juga sejajar.

"Kad merah (kepada Pavel Bucha pada minit ke-61) memberikan kelebihan buat kami tetapi sehingga ke saat itu, kami masih mendominasi perlawanan ini dan satu-satunya kesilapan yang kami lakukan adalah kekal dengan kedudukan 1-0.

"Romelu Lukaku akan kembali selepas tugasan antarabangsa dan kemudian, saya mempunyai lebih pilihan di bahagian serangan. Kami akan memerlukan setiap pemain sepanjang musim ini," katanya.