Jaringan berganda yang dihasilkan Erling Haaland membantu Borussia Dortmund mengikat Sevilla 2-2 dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan agregat 5-4 awal pagi tadi.

Selepas mendahului 3-2 dalam perlawanan pertama, pasukan tuan rumah itu selesa menambah kelebihan mereka hasil penyudah licik dan gol penalti pemain nombor sembilan prolifik itu.

Tetapi Youssef En-Nesyri kembali merapatkan defisit buat Sevilla menerusi sepakan penaltinya pada 20 minit terakhir dan menanduk masuk satu lagi gol dalam waktu kecederaan.

Bagaimanapun, Sevilla gagal menemui satu lagi jaringan pada penghujung perlawanan untuk perjalanan mereka di peringkat Eropah ditamatkan.

Dengan kelebihan agregat yang dibawa mereka, Dortmund memulakan perlawanan itu dengan berhati-hati.

Pendekatan mereka itu hampir mengundang padah pada minit ketiga apabila hantaran kurang kemas Emre Can membenarkan Lucas Ocampos melakukan percubaan yang perlu diselamatkan penjaga gol, Marwin Hitz.

Sevilla selepas itu secara efektifnya dapat berkemah di luar kawasan penalti tuan rumah dan hampir tidak henti-henti cuba membawa masuk bola ke dalam petak tersebut.

Tetapi pasukan Sepanyol itu bergelut untuk menghasilkan penyudah dan sebaliknya dihukum selepas setengah jam permainan.

Thomas Delaney dan Nico Schulz bergandingan mengatasi Suso sebelum Mahmoud Dahoud melakukan umpanan buat Marco Reus, yang kemudian membantu Haaland menghasilkan jaringan mudah.

Didorong dengan jaringan itu, Dortmund turun dalam babak kedua dengan lebih menyinar dan memperoleh pulangan awal apabila Haaland melakukan gerakan menarik untuk mengatasi Diego Carlos dan menjaringkan gol dari sudut sukar.

Bagaimanapun, selepas semakan panjang video bantuan pengadil (VAR), jaringan itu dibatalkan kerana terdapat tolakan daripada Haaland tetapi Dortmund diberikan sepakan penalti susulan baju penyerang itu ditarik dalam insiden lebih awal.

Walaupun pemain kebangsaan Norway itu pada awalnya gagal menjaringkan sepakan berkenaan, dia diberikan satu lagi peluang kerana penjaga gol lawan didapati keluar terlalu awal dari kawasannya dan kesempatan kedua itu jelas tidak disia-siakan Haaland.

Gol itu meletakkan Dortmund selesa dengan kelebihan agregat 5-3 tetapi kesilapan Emre Can menolak Luuk de Jong memberikan sepakan penalti buat Sevilla.

Dan kegusaran pasukan Jerman itu kian meningkat apabila En Nesyri, yang menjaringkan sepakan penaltinya dengan bergaya, menanduk masuk gol keduanya dalam waktu kecederaan.

Tetapi Sevilla gagal menemui satu lagi jaringan, sekali gus membenarkan lawan kendalian Edin Terzic itu mara ke suku akhir.