Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan menjaringkan gol gemilang dalam babak pertama untuk Manchester City menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0, sekali gus mengesahkan tempat dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Kembali bertemu di Arena Puskas, Budapest selepas Gladbach bertindak selaku tuan rumah di venue sama bulan lalu, City juga mengulangi keputusan sama bagi memastikan mereka memperoleh kemenangan agregat 4-0.

De Bruyne menjaringan go ke-100 City musim ini dengan kaki kiri berbisanya dan Gundogan turut melakukan perkara sama dengan penyudah kemasnya tidak lama selepas itu.

Gladbach, yang kini tidak pernah menang dalam sembilan perlawanan terakhir di bawah kendalian Marco Rose, terus diperkotak-katikkan oleh City, yang mempamerkan persembahan terbaik mereka sepanjang beberapa minggu ini bagi meneruskan pemburuan empat gelaran musim ini.

Penjaga gol pelawat, Yann Sommer, diberikan amaran awal oleh sepakan voli tajam Phil Foden susulan lambungan Joao Concelo pada minit keenam dan di gawang bertentangan pula menyaksikan Ederson perlu menolak keluar percubaan terbias daripada penyerang Gladbach, Breel Embolo.

Percubaan awal itu mendorong City untuk meningkatkan asakan sebelum mereka menemui gol pembukaan.

Gol pertama terhasil apabila De Bruyne membiarkan bola hantaran daripada Riyad Mahrez melintasi badannya sebelum meledakkan jaringan dari jarak 25 ela yang sempat terkena palang gol pada minit-12.

Kemudian, pada minit ke-18, pusingan dan sepakan rendah daripada pemain tengah, Foden, menemui Gundogan sebelum disudahkan dengan cukup tenang dan bergaya.

Sommer kemudian menolak keluar sepakan percuma kencang De Bruyne walaupun Embolo hampir merapatkan jurang menjelang waktu rehat tetapi percubaannya sekadar meliar selepas bergandingan dengan Marcus Thuram.

Tiada sebarang pertanda City akan mengendurkan asakan mereka dalam babak kedua dengan Mahrez menyepak keluar bola hasil penggiliran pemain di posisi nombor sembilan mereka.

Mahrez kemudian memaksa Sommer menyelamatkan dua percubaan kaki kirinya tetapi perlawanan itu berakhir dengan mengecewakan buat pemain sayap Algeria berkenaan, yang gagal menemui sebarang sasaran daripada lima percubaannya.