Edinson Cavani akan terlepas perlawanan Manchester United menentang Young Boys dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer, mengesahkan penyerang berkenaan mengalami kecederaan ringan dalam satu perlawanan persahabatan.

Cavani tidak tersenarai ketika United menewaskan Newcastle United 4-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, Sabtu lalu.

Bintang Uruguay itu hanya pernah beraksi sekali musim ini dan tidak akan diturunkan dalam aksi pembukaan kempen Eropah di Switzerland awal pagi esok.

Bercakap dalam sidang media, Solskjaer berkata kepada wartawan: "Edi diharapkan akan dapat bersama kami tidak lama lagi, dia mengalami kecederaan ringan dalam perlawanan secara tertutup ketika waktu rehat antarabangsa. Dia sedang berusaha keras untuk kembali beraksi."

United, dalam pada itu, dapat menurunkan Cristiano Ronaldo dan penyerang itu berpotensi menyamai rekod 177 penampilan UCL milik Iker Casillas, empat hari selepas melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Newcastle sejak pulang ke Old Trafford daripada Juventus.

Bekas bintang Real Madrid itu menandakan kepulangannya dengan gol berganda, di mana penyudah berbisanya kelihatan akan menjadikan United pasukan yang digeruni selepas mereka turut mendatangkan Raphael Varane dan Jadon Sancho dalam jendela perpindahan lalu.

Ditanya mengenai kualiti terkini yang dimiliki pasukannya, Solskjaer berkata: "Pasukan ini sudah berkembang dan matang sejak beberapa musim lalu, itulah perancangannya.

"Apabila saya menyertai pasukan ini, kami mahukan pasukan dengan pengalaman dan kualiti yang mampu mencabar. David (de Gea) ada di samping saya, Harry (Maguire) sudah berada di sini untuk beberapa tahun, kini Rapahel dan Cristiano. Kami sudah belajar."

Kepulangan Ronaldo memberikan impak segera dan meningkatkan semangat seluruh pemain United dan De Gea tidak teragak-agak untuk bercakap mengenai pengaruh yang dibawa bintang Portugal itu dalam sesingkat waktu.

Dia berkata: "Amat hebat untuk Ronaldo kembali bersama kami di rumahnya -- pengalaman yang dimiliki Ronaldo amat luar biasa.

"Dia seorang legenda di kelab ini dan amat hebat untuk mendapatkannya kembali di sini. Ia sesuatu yang besar buat kami."