PSV 0 BENFICA 0
(Benfica mara dengan agregat 2-1)


10 pemain Benfica terselamat daripada serangan bertali-arus PSV untuk menyusuli kemaraan Young Boys dan Malmo ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Wakil Portugal itu kehilangan Lucas Verissimo berikutan kad kuning kedua selepas 32 minit permainan aksi timbal balik di Stadium Philips itu, namun PSV tetap buntu daripada 21 percubaan yang dilancarkan apabila lapan daripadanya diselamatkan oleh Odisseas Vlachodimos.

PSV memiliki 73 peratus penguasaan dan mensia-siakan peluang menarik apabila percubaan Eran Zahavi terkena palang biarpun pintu gol sudah ternganga, dan kegagalan itu memastikan Benfica layak dengan agregat 2-1 selepas mencipta kemenangan di tempat sendiri, minggu lalu.

Young Boys juga lolos meskipun berdepan tentangan sengit daripada Ferencvaros hasil kemenangan 3-2 di Budapest untuk melengkapkan kemaraan dengan agregat 6-4.

Ferencvaros bangkit menerusi jaringan Henry Wingo dan Ryan Mmaee dalam tempoh sembilan minit separuh masa pertama untuk membatalkan gol pembukaan Cedric Zesiger bagi mengimbangi agregat 4-4.

Tetapi Christian Fassnacht memastikan kelebihan memihak kepada Young Boys apabila Felix Mambimbi mengesahkan kemenangan selepas Aissa Laidouni dilayangkan kuning kedua, sekali gus menghantar Ferencvaros ke pertandingan Liga Europa musim ini.





Ludogorets juga akan bertanding dalam kancah kedua Eropah musim ini sungguhpun menundukkan Malmo 2-1 dalam perlawanan kedua play-off itu.

Kelab Sweden itu layak ke UCL buat kali ketiga sejak 2016 berbekalkan kelebihan 2-0 ketika bertandang ke Huvepharma Arena dan ia ternyata amat berguna apabila ketua pasukan Ludogorets, Anton Nedyalkov, mengurangkan defisit perlawanan ketika aksi bersisa 10 minit selain Pieros Sotiriou gagal melunaskan sepakan penalti.

Baki tiga lagi perlawanan play-off membabitkan Brondby, Salzburg, Dinamo Zagreb, Sheriff Tiraspol, Shakhtar Donetsk dan Monaco akan berlangsung awal pagi esok.