Bayern Munich meneruskan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan kelebihan agregat 6-2 selepas menewaskan Lazio 2-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Arena Allianz awal pagi tadi.

Pasukan juara bertahan itu membawa kelebihan selesa 4-1 daripada perlawanan pertama di Rome dan lawan dari Serie A berkenaan kelihatan langsung tiada peluang untuk merencanakan kebangkitan.

Sebaliknya, ia menjadi satu lagi malam gemilang buat bintang Bayern, Robert Lewandowski, yang menjaringkan golnya yang ke-39 musim ini menerusi sepakan penalti pada minit ke-33.

Eric Maxim Choupo Moting kemudian menggandakan kelebihan itu pada minit ke-73 sebelum gol sagu hati Marco Parolo memberikan sedikit kegembiraan buat Lazio.