JUVENTUS 4 ZENIT 2

Massimiliano Allegri memuji tindak balas Juventus selepas menewaskan Zenit 4-2 untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sekalipun dibayangi kekalahan kepada Sassuolo dan Hellas Verona.


Paulo Dybala membuka jaringan di Stadium Allianz, awal pagi tadi, sebelum memulihkan pendahuluan tuan rumah menerusi sepakan penalti dalam separuh masa kedua selepas gol sendiri Leonardo Bonucci membolehkan Zenit mengimbangi perlawanan.

Federico Chiesa kemudian menokok gol ketiga buat Bianconeri -– menjadi pemain Juve pertama sejak David Trezeguet yang menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dalam kempen itu pada 2001 -– sementara Alvaro Morata turut menemui sentuhan penyudah ketika anak buah Allegri tersebut melakar kemenangan.

Sardar Azmoun menjaringkan gol kedua untuk Zenit tetapi ia sudah terlewat untuk menghalang Juve daripada menjamin kejayaan dalam keempat-empat perlawanan pembukaan UCL buat kali ketiga selepas merakamkannya pada 1995-96 dan 2004-05.

Sejurus merekodkan kemenangan kesembilan mereka dalam 10 perlawanan di tempat sendiri dalam pertandingan itu, pendahulu Kumpulan berkenaan mengesahkan kemaraan lebih awal sambil Allegri memuji kemahuan anak buahnya untuk bangkit susulan kekalahan berturut-turut dalam Serie A.

“Ini soal berkehendakkan sesuatu, tiada yang lain,” kata pengurus terbabit kepada Mediaset selepas perlawanan.

"Pasukan ini mempunyai teknik, semua orang berkembang. Selain itu, kami telah mencapai matlamat pertama musim ini."




Allegri berasakan Juve sudah bersedia untuk melupakan dua keputusan buruk baru-baru ini.

Dia menambah: "Kami berkumpul semula pagi semalam, kami bertemu dan kami menjalani persiapan yang baik. Sebagai ganjarannya, pagi esok saya memberikan cuti kepada mereka sebelum bertemu dua hari lagi untuk berlatih."

Dybala mengatasi pencapaian legenda Bianconeri, Michel Platini, dengan dua gol yang dihasilkannya sambil meniru gaya terkenal pemain Perancis itu meraikan dengan bergambar berbaring di atas padang dalam gol pertamanya.

Ditanya selepas perlawanan mengenai gaya sambutannya itu, Dybala -– yang menjaringkan enam gol dan empat mencipta bantuan jaringan ke-10 dalam kempen ini -– mengakui mengagumi Platini.

“Platini adalah idola buat saya dan bola sepak, saya harap dia akan menontonnya,” kata penyerang dari Argentina itu.

“Saya merancang untuk meraikannya seperti ini apabila menyamai jumlah golnya ketika menentang Inter, tetapi ia tidak berlaku dalam perlawanan itu.

"Kami beraksi sebagai pasukan yang hebat dan kami mencapai keputusan yang baik. Kami telah mencapai sasaran pertama, sekarang kami mahu pergi ke London menentang Chelsea dan menjamin tempat pertama Kumpulan H."