RUSSIA 2 NEW ZEALAND 0

Stanislav Cherchesov berkata ucapan penuh semangat daripada Vladimir Putin dalam upacara pembukaan Piala Konfederasi memberikan motivasi tambahan untuk tuan rumah, Russia, mengalahkan New Zealand.


Russia membuat permulaan cemerlang di St. Petersburg pada awal pagi tadi selepas menang 2-0 hasil jaringan sendiri Michael Boxall dan percubaan Fyodor Smolov.

Tuan rumah akan menghadapi Portugal pada Khamis ini selepas skuad Fernando Santos itu bertemu Mexico dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A mereka awal pagi nanti.

Cherchesov berasa ucapan sebelum perlawanan daripada Presiden Russia itu yang berakhir dengan, "rakan-rakan yang dihormati, marilah kita menonton bola sepak! Selamat datang ke Russia!" memberi inspirasi kepada pemain-pemainnya.

Putin, yang menggesa Russia memperbaiki prestasi mereka dalam kejohanan itu, seolah-olah menikmati perlawanan dan dilihat gembira sambil bertepuk tangan dengan jaringan Smolov ketika berada di tempat duduk penonton bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino.

"Apabila presiden negara kami keluar untuk membuat ucapan, ia merangsang dan memberikan kami motivasi yang hebat, tetapi ia juga menambah tanggungjawab kami," kata Cherchesov kepada pemberita.

"Kami mencapai keputusan yang sangat baik dan dalam permainan yang sangat baik. Kami bermain seperti dirancang.

"Saya percaya kami akan mempunyai skuad yang sama untuk menentang Portugal."

Ditanya sama ada dia kecewa hanya menang dengan dua gol, Cherchesov berkata: "Tidak, kami tidak sama sekali. Jelas bahawa apabila setiap serangan tidak membuahkan hasil, ia mengecewakan tetapi kami mempunyai banyak peluang dan akan belajar daripada pengalaman itu."